Di
utara Semenanjung Malaysia, pondok mempunyai dua erti., Pertama, ia
bererti rumah kecil yang bersifat sementara. Kedua ia bererti sebuah
institusi pembelajaran Islam yang berbentuk tradisional dan ortodoks.
Di Malaysia dan Thailand Selatan pondok bererti institusi pendidikan
agama Islam yang bersendirian dan berasrama. Di jawa pondok disebut
pesantren dan dalam bahasa Jawa ia bermakna madrasah. Manakala di
Acheh, Sumatera pondok disebut dayah. Hakikatnya, dapat dibuat rumusan
bahawa pondok itu adalah rumah kecil yang dibina bertujuan untuk tempat
tinggal yang berkaitan dengan pengajian agama Islam yang terletak
berhampiran surau atau masjid.
Kemunculan
Pondok dan Perkembangannya Tarikh tepat penubuhan pondok di Kelantan tidaklah diketahui,
namun sistem ini telah muncul pada awal abad ke 19 Masehi. Ia bermula
apabila Tuan Haji Abdul Samad Abdullah membina pondok pertama di Pulau
Chondong yang terletak di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu, walaupun
ada pendapat lain yang mengatakan pengasasnya yang pertama bermula
di zaman pemerintahan Long Jenal. Seterusnya pondok lain telah dibina
oleh Haji Ismail di Machang. Sejarah telah membuktikan bahawa wujudnya
pondok di negara ini dari Patani pada abad ke 17 yang diperkenalkan
oleh seorang ulama Kedah. Dipercayai kerana pengaruh Tok Kenali, maka
pada kurun ke 20 Kelantan mendahului negeri lain sebagai pusat pertama
pengajian pondok, walau besar kemungkinan kemunculannya lebih awal
di Terengganu.
Pengajian pondok di Kelantan dipelopori oleh ulama yang terkenal yang
kembali dari Mekah dan amat disanjung oleh masyarakat Kelantan pada
masa itu itu. Ulama-ulama Kelantan di Kota Bharu mulai pertengahan
kedua abad ke 19 mengajar ilmu tasawuf, feqah, usuluddin dan cabang-cabang
ilmu linguistik. Antara mereka yang terkenal itu ialah Haji Abdul
Samad Muhd. Salleh (Tuan Tabal, 1840-1891), Haji Wan Ali Abdul Rahman
Khutam dan Haji Yaakob Abdul Halim. Dengan tertubuhnya Pondok Kubang
Pasu , Di Kota Bharu pada tahun 1850, Tuan Tabal telah membawa kepada
perkembangan dan meluaskan lagi pendidikan pondok di Kelantan.
Pembukaan pondok itu telah membawa erti yang unggul sinaran ajaran
tasawuf tersebar luas di Kelantan. Perkembangan pondok di Kelantan
mulai pesat selepas tahun 1909 berikutan kepulangan sejumlah besar
ulama negeri ini dari Patani dan Mekah. Ulama ini memainkan peranan
penting memperkembangkan sistem pondok dengan membuka pondok di kawasan
mereka. Nama-nama seperti Tok Selehor (Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman),
Tok Jelapang (Tuan Guru Haji Ahmad) dan Haji Wan Musa adalah ulama
terkenal di Kelantan.
Pada pertengahan abad ke 19 Masehi. Pondok Tok Kenali merupakan pusat
pengajian Islam yang terkenal di Asia Tenggara. Di peringkat awal
pondok banyak didirikan di sekitar Kota Bharu. Di antaranya ialah
Pondok Tok Bachok di Bachok pada tahun 1900 oleh Haji Othman Haji
Muhammad. Pondok Kubang Pasu pada tahun 1900 oleh Haji Nik Abdullah
Haji Wan Abdul Samad. Pondok Haji Malik Hassan pada tahun 1907 oleh
Haji Abdul Malik Hassan di Kampung Sungai Pinang, Tumpat. Pondok Haji
Yusuf di Pulau Ubi, Geting, Tumpat oleh Haji Ibrahim, Pondok Tuan
Padang yang diasaskan oleh Haji Taib Tuan Padang, Pondok Kampung Banggol
oleh Haji Wan Ismail dan Pondok Kampung Tok Semian oleh Haji Wan Abdul
Samad Mohd. Salleh.
Fenomena pondok di Kelantan terus bersinar menjelang pertengahan abad
ke 20 apabila beberapa buah pondok baru telah dibina. Dalam tahun
1913 Masehi Pondok Bunut Payong atau Madrasah Ahmadiah telah diasaskan
oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Kemudian diikuti pula oleh Pondok
Lati, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Kubang Benbam dan Pondok Paksu Wel.
Perkembangan pondok berkembang dengan dinamik di zaman kegemilangan
Tok Kenali dan selepasnya. Di tahun 1910 hingga 1945 Masehi ini bolehlah
dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pondok di Kelantan.
Bermula zaman dari tahun 1945 masehi, perkembangan pondok mulai merosot
dalam riwayat pondok di Kelantan. Sebab utama kemerosotannya ialah
berpunca dari perubahan-perubahan dalam perkembangan pelajaran di
Kelantan. Pada masa itu mulai muncul sekolah-sekolah rakyat yang menggunakan
bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, ditambah pula sekolah-sekolah
Melayu dan agama kerajaan lebih baik dan terjamin berbanding sistem
pondok.
Dalam tahun-tahun 40an dan 50an telah muncul beberapa buah pondok
yang hingga kini masih kekal, setelah kedapatan pondok-pondok terdahulu
telah berkurangan sambutannya dan tidak diminati lagi. Akhirnya ada
pondok yang terpaksa ditutup atau diambil alih oleh kerajaan untuk
dijadikan sekolah Arab atau sekolah agama kerajaan.
Selepas tahun 1945, pondok-pondok tetap didirikan di negeri Kelantan,
walau pun mendapat persaingan sengit dengan sekolah-sekolah kerajaan
dan sekolah Arab. Pondok-pondok itu ialah Pondok Haji Muhd. Noor di
Kampung But, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu yang diasaskan oleh Haji
Muhd. Noor pada tahun 1946. Pada tahun 1950 Pondok Darul Ulum al-Ahmadiah
telah ditubuhkan di Kampung Kolam, Bachok oleh Haji Muhammad Abdullah.
Pada tahun 1958 pula, Pondok Sungai Durian telah ditubuhkan di Kampung
Sungai Durian, Kuala Krai oleh Haji Abdul Rahman Sulaiman. Pada tahun
1971, jumlah pondok di Kelantan berjumlah 100 buah mengandungi 2,000
orang murid.
Dalam meniti arus pemodenan dan cabaran zaman, untuk menjamin sistem
ini agar terus unggul dan berfungsi, maka pada 22 April 1995 usaha
guru-guru pondok di Kelantan telah menubuhkan sebuah badan khas
untuk menangani masalah itu yang dikenali Pusat Pembangunan Pondok
Berhad (PPPB). Tujuan utamanya ialah untuk meninggikan syiar dan
kefahaman Islam di kalangan ummah dan merangkumi sistem tarbiah
dan sosial. Usaha ini menampakkan fikiran dan alternatif ke arah
menangani masalah sekolah pondok untuk masa hadapan demi menyahut
cabaran pendidikan Islam di Malaysia amnya dan di Kelantan khasnya.
|