|
Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah
s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi
baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran
Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama
iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik
terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.
Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah
Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan
sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru. Sejarah
telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih
perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan,
kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu
iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting
bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran
dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan
munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.
Firman Allah di dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ
آمَنُوا إِن
تَنصُرُوا
اللَّهَ يَنصُرْكُمْ
وَيُثَبِّتْ
أَقْدَامَكُمْ
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama
Allah nescaya Allah akan menolong kamu dalam mencapai kemenangan,
serta meneguhkan tapak pendirian kamu. Muhammad, ayat 7.
Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman,
tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas
sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persediaan dan persiapan
yang mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini
penting bagi memastikan dakwah Islamiah dan perjuangan menegakkan
Syiar Islam sentiasa lancar, maju dan berjaya di tengah-tengah arus
perubahan dunia.
Perubahan teknologi dan kemajuan manusia yang begitu pesat benar-benar
meletakkan umat Islam berada dalam keadaan tiada pilihan selain
dari menyiapkan barisan pelapis generasi muda bukan setakat menghadapi
ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam
sebaga sebagai satu cara hidupi muka bumi Allah ini.
Merujuk kepada ciri-ciri hijrah bentuk baru yang perlu ditampilkan,
penghijrahan nilai, etika dan peradaban hidup perlu diberi perhatian
khusus dalam membentuk sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera.
Tiada gunanya kita maju ke hadapan dalam bidang teknologi dan kecanggihan
maklumat, tetapi jiwa kita kering kontang dan senang dibawa arus
hawa nafsu yang dikepalai oleh iblis dan syaitan. Kita perlu wujudkan
keseimbangan kemajuan di sudut rohani dan jasmani.
Dunia tanpa sempadan, perdagangan elektronik, era digital, teknologi
maklumat, jenayah siber, perlumbaan ilmu, kuasa ekonomi, kekuatan
teknologi dan banyak lagi adalah cabaran yang hanya mampu diharungi
oleh generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual
dalam melangkah menuju ke alaf baru. Penghayatan kepada pengajaran
di sebalik peristiwa hijrah dan bersesuaian dengan fenomena sekarang,
maka umat Islam perlu kepada kekuatan yang berupa keyakinan, kematangan,
ilmu, kecekalan, kesungguhan dan kesatuan. Inilah unsur-unsur yang
perlu dimiliki dan dibentuk kepada generasi umat Islam sekarang
dalam meneruskan perjuangan risalah Islam dalam arus perubahan alaf
baru.
Perjuangan meneruskan misi Rasulullah s.a.w di muka bumi ini iaitu
meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian
alam, memerlukan keyakinan yang tinggi dan mantap. Generasi ummah
perlu yakin bahawa berbekalkan keimanan, semangat jihad dan panduan
berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka sudah pasti perjuangan menyampaikan
risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan pertolongan serta inayah
daripada Allah s.w.t. Keyakinan yang bertitik tolak dari kefahaman
Islam yang sebenar berteraskan akidah tauhid adalah sumber kekuatan
menempuh pelbagai perubahan hidup dan sistem masyarakat dunia. Bahkan
dengan keyakinan ini juga, generasi pelapis akan melihat perubahan-perubahan
yang pesat berlaku itu bukanlah halangan yang membantutkan perjuangan,
akan tetapi merupakan peluang yang mesti direbut bagi menjayakan
pelaksanaan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi Allah ini.
Oleh itu, maka generasi muda umat ini perlulah memantapkan kefahaman
mereka menerusi akidah tauhid menerusi mendalami ilmu agama, penghayatan
al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, perbincangan
ilmiah sesama para cendekiawan Islam dan yang lebih penting menguatkan
hubungan dengan Allah dengan membanyakkan solat, doa, dan ibadat-ibadat
sunat.
Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan
menuju kejayaan akan terbentang. Penghijrahan minda umat ini perlu
dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutama dengan kewujudan
Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memerlukan tenaga mahir dalam
bidang teknologi maklumat. Amat menyedihkan jika MSC dipenuhi dengan
wajah-wajah orang asing yang mengaut keuntungan sedangkan bangsa
kita terpinggir. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra'd
ayat 11 yang bermaksud:
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ
مِّن بَيْنِ
يَدَيْهِ وَمِنْ
خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ
مِنْ أَمْرِ
اللّهِ إِنَّ
اللّهَ لاَ
يُغَيِّرُ
مَا بِقَوْمٍ
حَتَّى يُغَيِّرُواْ
مَا بِأَنْفُسِهِمْ
وَإِذَا أَرَادَ
اللّهُ بِقَوْمٍ
سُوءًا فَلاَ
مَرَدَّ لَهُ
وَمَا لَهُم
مِّن دُونِهِ
مِن وَالٍ
Maksudnya: Manusia itu mempunyai Pengiring (Malaikat) yang mengikutnya,
di hadapan dan di belakangnya; mereka menjaganya atas perintah Allah
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. Dan apabila Allah hendak
mendatangkan bahaya kepada sesuatu kaum, tiadalah dapat ditolak dan
mereka (manusia) tidak mempunyai pelindung selain dari Allah.
Hijrah juga mengajarkan kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam
diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau
kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan
merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang
kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan
keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti
benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan
kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan
inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam
mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan
tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan
generasi ummah bangun mempertahankan Islam. Malahan usaha dan semangat
mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan
manusia yang bernaungkan Islam. Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai
menerusi singkapan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam
peristiwa hijrah. Oleh itu generasi umat Islam mestilah celik sirah
nabawiah bagi mengambil bekalan yang sepenting ini.
Disediakan Oleh : Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail
E-Pondok
|