PENDAHULUAN
Takdirnya Mazhab Ahli’s-Sunnah Wal-Jama’ah merupakan mazhab yang
paling dominan dalam sejarah umat ini dan ianya merupakan mazhab
yang orthodoks dalam pengertian yang asalnya iaitu mazhab yang
benar, asal, tepat mengikut apa yang dikehendaki oleh ajaran dan
amalan Islam itu sendiri. Walaupun di dalamnya terdapat beberapa
pendirian yang mengambil kira peristiwa sejarah awal Islam – yang
memang tidak boleh dielakkan – hakikat ajaran dan pendiriannya
adalah hakikat yang telah ada dalam Islam semenjak awal penzahirannya
dalam sejarah. Kemudian dengan istilah-istilah itu adalah ‘deployment’
proses perkembangan kemudian yang semestinya berlaku sebagaimana
berkembangnya pokok daripada biji benihnya dengan segala sifat-sifat
yang telah ada padanya sejak awal lagi. Dalam nota ringkas ini,
insya’Allah akan ditelitikan sedikit sebanyak perkembangannya
dalam sejarah dan juga konsep-konsep asas yang terlibat dalam
perkembangan ini untuk memperingatkan kembali segi-segi demikian
ini berhubungan dengan identiti umat ini. Semoga ini mendatangkan
faedah bersama dan bukan untuk kepentingan ilmiah semata-mata,
walau bagaimana relevannya kepentingan ilmiah itu pada parasnya
sendiri.
I
Sebelum dilihatkan kembali segi-segi sejarahnya, eloklah dimulakan
perbincangan ini dengan meneliti istilah Ahli’s-Sunnah wa’l-Jama’ah
itu sendiri dan punca-puncanya. Penggunaan istilah Jama’ah Muslimin
memang terdapat dalam hadith-hadith, terutamanya dua istilah iaitu
“jamaah” dan “firqah” dengan pluralnya “firaq”. Dalam Sunan Ibn
Majah riwayat dari Abu Hurairah (r.a.):
“Orang-orang Yahudi telah berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan
atau puak (firqah); dan umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh
tiga golongan”.
Dalam catatan nota kakinya oleh Muhammad Fu’ad ‘Abdul Baqi, dinyatakan
bahawa mereka yang dikatakan “umatku” itu adalah umat ijabah,
ahli Qiblat. Dan ‘perpecahan’ yang dimaksudkan itu adalah dalam
bidang usul dan ‘aqidah, bukan dimaksudkan dalam bidang furu’
dan ‘amaliyat.
Sebuah hadith lagi ialah diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik
bahawa baginda s.a.w. bersabda: “Orang-orang Yahudi telah berpecah
kepada tujuh puluh satu golongan (ihda wa sab’ina firqatan). Satu
golongan daripada mereka itu dalam syurga dan yang tujuh puluhnya
dalam neraka. Orang-orang Nasara pula berpecah menjadi tujuh puluh
dua golongan, tujuh puluh satu golongan mereka dalam neraka, dan
satu golongan dalam syurga. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada
dalam tangan kekuasaan-Nya, benar-benar umatku akan berpecah kepada
tujuh puluh tiga golongan, satu golongan berada dalam syurga dan
tujuh puluh dua dari mereka dalam neraka”. Baginda ditanya: “Siapakah
mereka (yang masuk syurga) itu?”. Jawab Baginda “Jama’ah”.
Boleh dilihat bagaimana disebutkan golongan yang selamat itu
adalah “jama’ah”.
Dalam catatan pentahkiknya dengan berdasarkan kepada az-Zawa’id
bahawa isnadnya terdiri daripada mereka yang dipercayai.
Dalam sebuah hadith lagi diriwayatkan daripada Anas bin Malik
r.a. bahawa baginda s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Bani Isra’il
berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan. Dan sesungguhnya umatku
akan berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan (firqah), semuanya
masuk neraka, melainkan satu golongan, iaitu al-Jama’ah”.
Boleh diperhatikan bahawa yang disebutkan sebagai golongan selamat
di sini ialah “al-Jama’ah”. Dan dari segi isnadnya, sebagaimana
yang dicatitkan oleh pentahkik isnadnya adalah sahih dan periwayat-periwayat
di dalamnya adalah mereka yang kepercayaan (rijaluhu thiqat).
Kepentingan berpegang kepada Jama’ah Muslimin yang berada atas
jalan yang hak itu disebutkan dalam sebuah hadith dari Hudhaifah
bin al-Yaman r.a., katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda bila diminta
baginda menyifatkan penyeru-penyeru kepada neraka jahannam pada
akhir zaman, “Mereka itu kaum dari bangsa kita (jildatina) dan
bercakap dengan bahasa kita”. Lalu Hudhaifah bertanya, “Apakah
yang engkau suruh bila aku bertemu dengan keadaan itu?”. Jawab
Baginda: “Hendaklah engkau berpegang kepada Jamaah Muslimin dan
imam mereka. Maka kalau tidak ada jamaah dan tidak ada imam mereka,
hendaklah engkau tinggalkan golongan-golongan itu semua sekali,
walaupun engkau terpaksa berpegang kepada pangkal pokok kayu dan
engkau mati dalam keadaan demikian itu”.
Hadith di atas jelas menunjukkan kepentingan berpegang kepada
Jamaah Muslimin dan imam mereka.
Hadith berkenaan dengan kepentingan berpegang kepada Jamaah Muslimin
dan imam mereka terdapat juga dalam Sahih al-Bukhari riwayat daripada
Hudhaifah bin al-Yaman; di dalamnya disebutkan oleh baginda s.a.w.
penyeru-penyeru yang menyeru manusia kepada neraka jahannam, dan
Hudhaifah meminta arahan daripada baginda apa yang patut dilakukan
dalam keadaan itu. Sabda Baginda: “Hendaklah engkau berpegang
kepada Jamaah Muslimin dan imam mereka ... (dan bila tidak ada
mereka itu) hendaklah engkau meninggalkan semua golongan-golongan
itu walaupun engkau terpaksa berpegang kepada pangkal pokok kayu
dan engkau mati dalam keadaan demikian itu”.
Dalam kitab al-Farq baina’l-Firaq, al-Khatib al-Baghdadi r.h.
ada menyebutkan beberapa hadith berkenaan dengan perpecahan ummah
dalam bab awal kitabnya itu. Antara hadith-hadith itu ialah yang
diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. bahawa Baginda
diriwayatkan bersabda: “Benar-benar akan berlaku atas umatku apa
yang telah berlaku ke atas Bani Isra’il. Bani Isra’il telah berpecah
menjadi tujuh puluh dua golongan (ithnatain wa sab’ina millatan)
dan umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan (thalathin
wa sab’in millatan) melebihi mereka itu satu golongan (millah).
Semua mereka itu dalam neraka melainkan satu golongan (illa millatan
wahidatan). Mereka bertanya Baginda, “Siapakah satu millah yang
tidak masuk neraka itu?”. Jawab Baginda, “(Mereka itu adalah golongan
yang mengikut) perjalanan hidupku dan para sahabatku (ma ana ‘alaihi
wa ashabi)”.
Sebuah hadith lagi yang disebutkan dalam kitab al-Farq baina’l-Firaq
ialah yang diriwayatkan daripada Anas melalui Qatadah, bahawa
Baginda s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Bani Isra’il berpecah kepada
tujuh puluh satu golongan (firqah) dan sesungguhnya umatku akan
berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan (‘ala thinatain wa sab’in
firqatan), semuanya dalam neraka melainkan satu iaitu al-jama’ah”.
‘Abdul Qahir al-Baghdadi menyatakan bahawa hadith yang datang
riwayatnya daripada Nabi s.a.w. berkenaan dengan perpecahan umat
(iftiraq al-ummah) itu banyak isnad-isnadnya. Satu jamaah daripada
para sahabat meriwayatkan hadith itu daripada Nabi s.a.w. seperti
Anas bin Malik, Abu Hurairah, Abu Darda’, Jabir, Abu Sa’id al-Khudri,
Ubay bin Ka’ab, ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As, Abu Umamah dan
Wathilah bin al-Asqa’.
Beliau menyatakan lagi bahawa ada diriwayatkan daripada Khulafa’
al-Rashidin r.a. bahawa mereka itu ada menyebut perpecahan umat
yang akan berlaku selepas mereka dan mereka menyebutkan ada satu
golongan yang selamat, yang lain itu dalam kesesatan di dunia
dan di akhirat pula mereka mengalami kebinasaan.
Beliau menyatakan lagi bahawa Baginda s.a.w. menunjukkan kecelaan
kaum Qadariyah dan menyatakan bahawa mereka itu adalah golongan
Majusi bagi umat ini.
Selain daripada itu, terdapat riwayat Baginda s.a.w. yang menunjukkan
kecelaan kaum Murji’ah beserta dengan kaum Qadariyah itu; dan
juga ada riwayat yang menunjukkan kecelaan kaum Khawarij. Selain
daripada riwayat Baginda s.a.w. sendiri, terdapat riwayat daripada
pemuka para Sahabat (a’lam as-sahabah).
Pada fahaman ‘Abdul Qahir al-Baghdadi, yang disebutkan sebagai
golongan-golongan yang keji itu yang dikatakan ahli neraka adalah
merujuk kepada golongan-golongan dari kalangan para fuqaha’ (firaq
al-fuqaha’) yang mempunyai pendirian yang berlainan dalam masalah-masalah
cawangan fiqh beserta mereka itu bersetuju dalam bidang usul agama.
Beliau menyatakan pendirian atau kefahaman yang demikian itu adalah
berdasarkan kepada kaedah bahawa dalam perkara-perkara furu’ tentang
halal dan haram yang berlaku di dalamnya khilaf di kalangan ‘ulama’
muslim di mana ada dua pendapat; pertama: mereka yang menganggap
benar semua pandangan mujtahidin yang dikeluarkan dalam masalah-masalah
furu’ fiqh. Pada pendapat mereka golongan fiqh adalah benar. Kedua:
mereka yang menganggap di dalam tiap-tiap masalah furu’ ada satu
golongan yang benar dan yang baki lagi itu tersilap, dan peri
tersilapnya golongan yang baki itu tidak membawa kepada kesesatan.
Seterusnya beliau menyatakan bahawa Baginda s.a.w. menperincikan
sebutan tentang golongan-golongan tercela (firaq al-mudhmumah)
sebagai golongan-golongan mengikut hawa nafsu yang sesat di mana
menyalahi golongan yang selamat itu dalam perkara-perkara seperti
keadilan Tuhan dan tauhid, tentang al-Wa’d dan al-Wa’id, bab al-Qadr
dan al-Istita’ah, dalam bab Taqdir baik dan buruknya, bab hidayah
dan kesesatan, bab Iradah dan Mashi’ah (Kehendak dan Iradat Allah),
bab Ru’yah atau Idrak (melihat Tuhan dan mencapai-Nya), bab sifat-sifat
Allah dan nama-nama-Nya, dalam satu bab daripada bab-bab ta’dil
dan tajwiz, satu bab daripada bab-bab nubuwwah, syarat-syaratnya
dan sebagainya, iaitu daripada bab-bab yang di dalamnya Ahli’s-Sunnah
Wa’l-Jama’ah bersepakat. Golongan yang tidak bersepakat dengan
Ahli’s-Sunnah Wa’l-Jama’ah ialah golongan Ahlu’l-Ahwa’ ad-Dallah
iaitu golongan pengikut hawa nafsu yang sesat. Mereka terdiri
daripada Qadariyah, Khawarij, Rawafid, Najjariyah, Jahmiyah, Mujassimah
dan Mushabbihah, serta mereka yang mengikuti pegangan yang sesat.
Ringkasnya, mengikut beliau bahawa sahlah pentakwilan maksud hadith
berkenaan tentang golongan-golongan yang sesat itu ialah golongan
yang bukan berikhtilaf dalam bidang furu’ fiqhiyyah bahkan dalam
bidang usulu’d-din.
Hadith-hadith sebagaimana yang disebutkan di atas didapati dalam
Sahih Tirmidhi, riwayat daripada Abu Hurairah; diriwayatkan bahawa
Baginda s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi telah
berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan atau tujuh puluh dua
golongan, dan orang-orang Kristian seperti itu juga, dan umatku
akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan (firqah)”. Dinyatakan
oleh Tirmidhi bahawa hadith ini hasan sahih.
Sebuah lagi hadith diriwayatkan dalam Sahih Tirmidhi daripada
riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr r.a. bahawa Baginda s.a.w. bersabda:
“Benar-benar akan berlaku ke atas umatku apa yang telah berlaku
ke atas Bani Isra’il seperti selipar dengan selipar, sehingga
jikalau ada di kalangan mereka seseorang yang mendatangi emaknya
sendiri (bersetubuh dengannya) dengan terang-terangan, akan ada
di kalangan umatku seseorang yang melakukan demikian itu; dan
sesungguhnya Bani Isra’il berpecah kepada tujuh puluh dua golongan
(millah) dan umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan
(millah) semua mereka itu dalam neraka melainkan satu golongan
(yang tidak masuk neraka).” Para sahabat bertanya: “(Siapakah
mereka dalam) millah yang satu itu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda,
“(Mereka itu adalah golongan yang mengikuti) perjalanan hidupku
dan para sahabatku”. Hadith gharib.
Berkenaan hadith yang menganjurkan supaya sentiasa diikuti sunnah
Baginda s.a.w., maka kita teringat kepada hadith riwayat Tirmidhi
iaitu daripada ‘Irbad bin Sariyah katanya, bahawa pada suatu hari
selepas sembahyang pagi (iaitu lepas subuh) Nabi s.a.w. menyampaikan
pengajaran yang cukup maksudnya, maka keluarlah air mata orang
ramai, dan hati mereka pun menjadi takut, maka (dalam hal itu)
berkatalah seorang lelaki, “Sesungguhnya nasihat adalah nasihat
seperti nasihat mengucap selamat tinggal, apakah yang engkau ingin
mewasiatkan kepada kami wahai Rasulullah?” Lalu Baginda S.A.W.
bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa
kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun ia seorang hamba
abdi bangsa Habsyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian);
maka sesungguhnya sesiapa daripada kalangan kamu yang hidup (bila
sampai masanya) ia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak,
dan hendaklah kamu berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara
baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya itu adalah kesesatan;
maka sesiapa di kalangan kamu yang mendapat perkara demikian itu
hendaklah ia mengikuti Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin
yang mendapat hidayah daripada Allah, dan hendaklah kamu berpegang
kepada Sunnah itu dengan gigi geraham kamu”. Hadith hasan sahih.
Dengan jelas sekali hadith ini menyuruh berpegang kepada Sunnah
Nabi s.a.w. dan perjalanan para Khulafa’ al-Rasyidin yang terpimpin
ke jalan yang benar.
Hadith sedemikian juga didapati dalam Sunan Ibn Majah juga riwayat
dari ‘Irbad bin Sariyah r.a. bahawa selepas Nabi s.a.w. memberi
nasihat yang cukup berkesan pada hati, Baginda bersabda: “Hendaklah
kamu semua bertaqwa kepada Allah; hendaklah kamu dengar dan taat
(kepada pemimpin kamu) walaupun ianya seorang hamba Habsyi. Dan
kamu akan melihat selepasku perselisihan yang teruk dan berat
(ikhtilafan shadidan). Maka hendaklah kamu berpegang kepada perjalanan
sunnahku dan sunnah atau perjalanan hidup para Khulafa’ al-Rashidin
yang mendapat hidayah daripada Tuhan. Hendaklah kamu berpegang
kepada perjalanan itu dengan gigi geraham kamu. Jaga-jagalah diri
kamu daripada (mengadakan-adakan atau mengikut) perkara-perkara
baru (dalam urusan agama); maka sesungguhnya tiap-tiap bid’ah
itu adalah kesesatan”.
Boleh diperhatikan dalam hadith ini kelainan kalimah berbanding
hadith terdahulu, iaitu ikhtilafah shadidan mengganti ikhtilafan
kathiran. Apa yang ditekankan dalam hadith ini ialah keperluan
berpegang kepada Sunnah Baginda s.a.w. dan para Khulafa’ al-Rashidin.
Berkenaan dengan konsep Khulafa’ al-Rashidin, dikatakan oleh pentahkiknya
bahawa ada pendapat yang menyatakan maksud Khulafa’ al-Rashidin
itu bukan sahaja terbatas kepada mereka itu, tetapi termasuk mereka
yang menjalani perjalanan sebagaimana mereka itu yang terdiri
daripada para pemimpin muslimin (min a’immat’ul-Islam). Kata beliau
lagi: Mereka itu adalah pada khalifah bagi Rasulullah s.a.w. yang
menegakkan al-haqq dan menghidupkan agama serta memimpin manusia
kepada perjalanan yang benar. Penafsiran ini nampaknya dibenarkan
oleh sebuah hadith yang menyebutkan para khulafa’ sebagai mereka
yang menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w. iaitu: “Moga-moga rahmat
Allah dicucurkan ke atas para khalifahku.” Baginda ditanya: “Siapakah
para khalifah engkau ya Rasulullah?”. “Mereka yang menghidupkan
Sunnahku .....”. (Hadith riwayat dari al-Hassan).
Selain daripada itu juga, kita boleh sebutkan sebuah lagi hadith
riwayat Ibn Majah yang juga riwayat daripada al-‘Irbad bin Sariyah
r.a. bahawa Baginda bersabda bila diminta tambahkan wasiatnya:
“Aku telah meninggalkan kamu dalam perjalanan yang terang benderang
(‘yang putih’ (al-baida’) yang bermaksud millah dan hujjah yang
nyata yang tidak ada kekeliruan lagi di dalamnya); Malamnya adalah
seperti siangnya. Tidak menjadi terseleweng selepasku melainkan
orang yang sengaja membinasakan dirinya. Sesiapa daripada kamu
semua yang hidup (sampai masa itu) maka ia akan melihat perselisihan
yang banyak (ikhtilafan kathiran); maka hendaklah kamu berpegang
kepada apa yang kamu ketahui daripada Sunnahku dan Sunnah Khulafa’
al-Rashidin yang dikurniakan hidayah (oleh Allah). Hendaklah kamu
berpegang kepadanya dengan gigi geraham kamu. Dan hendaklah kamu
taat (kepada para pemimpin kamu) walaupun (yang diangkat menjadi
pemimpin itu) seorang hamba bangsa Habshi. Sesungguhnya seseorang
mu’min itu adalah seperti unta yang dicucuk hidungnya (iaitu ada
tali penuntunnya pada hidungnya), ke mana ia dibawa, ia mengikut
(iaitu orang mu’min yang tidak takabbur dan merendah diri itu
mengikut peraturan Syara’ di mana ia dibawa)”.
Jelas dalam hadith ini tuntutan ke atas umat supaya mengikuti
Sunnah Nabi s.a.w. dan perjalanan Khulafa’ al-Rashidin dan mereka
yang sedemikian itu perjalanannya. Demikian juga ditekankan kepada
mereka dasar ketaatan yang sewajarnya yang dituntut oleh Syara’.
Selepas meneliti beberapa hadith berkenaan dengan masalah perpecahan
ummah dan golongan yang selamat serta tuntutan supaya orang mu’min
itu mengikuti Sunnah Nabi s.a.w., Sunnah Khulafa’ al-Rashidin
dan perjalanan para sahabat r.a., terdapat beberapa pengamatan
yang boleh dibuat berkenaan dengan nas-nas ini. Antaranya bahawa
hadith-hadith itu adalah kuat sandarannya, oleh itu jelas mengapa
kesemuanya dijadikan sandaran bagi memahami perihal ini di kalangan
para ulama’ kita yang mu’tabar.
Tentang perpecahan-perpecahan yang berlaku dalam sejarah tiga
agama besar, ia nampaknya biasa, sebagaimana yang didapati dalam
al-Quran yang kerap menyebut tentang Ahlil-Kitab yang terdiri
daripada al-Yahud wan-Nasara. Maka dalam hadith-hadith berkenaan
dengan perpecahan ini tersebut juga al-Yahud wan-Nasara.
Kalimat-kalimat yang digunakan bagi menyebut ‘golongan’ itu ialah
antaranya ‘firqah’ jamak ‘firaq’, ‘millah’ tapi tidak disebut
jamaknya; juga digunakan istilah ‘jama’ah’ tetapi itu adalah dalam
konteks Jama’ah al-Muslimin yang dikehendaki yang mengikuti perjalanan
yang benar serta ada imannya. Selain itu, dalam hadith-hadith
tersebut dinyatakan ‘golongan’ yang selamat atau ‘firqah’ yang
satu iaitu “al-jama’ah”, antaranya dalam hadith-hadith riwayat
Anas bin Malik dan ‘Auf bin Malik. Selainnya, golongan yang selamat
itu ialah golongan yang mengikuti perjalanan Nabi s.a.w. dan para
sahabatnya (ma ana’alaihi wa ashabi).
Juga dalam hadith-hadith itu dianjurkan bahawa dalam zaman ikhtilaf
yang banyak, atau ikhtilaf yang teruk dan berat itu (ikhtilafan
shadidan) itu hendaklah orang-orang mu’min berpandukan perjalanan
hidup Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa’ al-Rashidin.
Daripada penelitian-penelitian ini, nampak jelas bahawa kalimat
‘sunnah’ itu menunjukkan terutama kepada Sunnah Nabi s.a.w. dan
kemudian dengan pengertian yang terkembang sendirinya, sunnah
para Khulafa’ al-Rashidin dan para sahabatnya. Demikian juga istilah
“jamaah” itu adalah merujuk kepada golongan para sahabat terutamanya
para Khulafa’ al-Rashidin yang mengikuti perjalanan Nabi s.a.w.
yang mereka dididik oleh Baginda. Dari sinilah timbulnya rangkaian
kata terkenal “Ahli’s-Sunnah wa’l-Jama’ah” iaitu mereka yang mengikuti
Sunnah atau perjalanan hidup Nabi s.a.w. dan jama’ah para sahabatnya
terutama sekali para Khulafa’ al-Rashidin yang semuanya dididik
oleh Baginda s.a.w. Ini bererti istilah Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah
itu merujuk kepada Sunnah Baginda dan kumpulan para sahabatnya
yang diikuti sebagai contoh yang sebaiknya. Maka boleh dikatakan
bahawa nama Ahli’s-Sunnah wa’l-Jama’ah itu adalah sesuatu yang
timbul sebagai pernyataan sesuatu yang memang sudah ada benihnya
dalam peristilahan dan sistemnya dalam hadith-hadith Nabi s.a.w.
sendiri, bukan yang merupakan sesuatu dari luar. Juga boleh dikatakan
bahawa ianya bukan merupakan sesuatu yang dipaksa-paksakan ke
dalam sistem peristilahan Islam, tetapi sesuatu yang terkembang
dengan sendirinya sebagai sesuatu tuntutan dalaman asal Islam
itu sendiri. Wallahu a’lam.
Seperkara lagi berhubung dengan konsep ummah yang selamat dan
berada di atas perjalanan yang benar dan terjamin ini ialah penggunaan
kalimat “al-baida” bagi memanggil ajaran dan perjalanan hidup
umat yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. iaitu sebagaimana yang
disebutkan dalam hadith Ibn Majah riwayat daripada al-‘Irbad r.a.
Istilah itu secara harfiah nampaknya memaksudkan perjalanan yang
putih, terang benderang dan yang tidak ada kemungkinan kekeliruan
lagi di dalamnya. Orang yang terseleweng daripadanya adalah orang
yang mempunyai kecenderungan yang tidak baik yang dengan sengaja
membinasakan dirinya. Istilah ini menarik hati kita oleh kerana
ianya memberikan konsep tentang kewujudan umat yang berdiri di
atas ajaran dan pegangan yang normative, yang menjadi penentu
atau neraca bagi memutuskan sesuatu itu benar, wajar atau sebaliknya.
Itulah umah ahlul-haqq yang orthodoks dalam pengertian yang sebenar-benarnya.
Neraca inilah yang menentukan konsep Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah
yang sistem keilmuannya dihuraikan kemudiannya.
II
Bagi meneliti beberapa tahap perkembangan sejarah Islam yang
kemudiannya membawa kepada pelbagai perselisihan dan khilaf itu,
adalah munasabah kita mengingati kembali beberapa persoalan yang
berkaitan. Antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Baghdadi
r.h. dalam al-Farq baina’l-Firaq di mana beliau menyatakan bahawa
pada masa wafat Baginda s.a.w. (tahun 10 hijrah) umat berada di
atas perjalanan agama yang satu dalam dasar-dasar agama (usulu’ddin)
dan cawangan-cawangannya, selain mereka yang menzahirkan persetujuan
dan yang menyembunyikan kemunafikan. Perkara khilaf yang pertama
berlaku ialah berkenaan dengan kewafatan Baginda s.a.w. Di mana
akhirnya golongan yang menyangka Baginda tidak mati sebaliknya
diangkat oleh Allah sebagaimana Sayyiduna ‘Isa a.s., telah besetuju
bahawa Baginda memang wafat apabila Abu Bakar r.a. membaca ayat
al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau mati dan mereka pun mati”.
(Az-Zumar : 30)
Beliau juga berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyembah Muhammad,
maka sesungguhnya Baginda telah wafat, dan sesiapa yang menyembah
Tuhan Muhammad, maka Dia Maha Hidup dan tidak mati”.
Kemudian timbul khilaf tentang tempat hendak dikebumikan Baginda
s.a.w. Ia akhirnya selesai dengan Abu Bakar r.a. meriwayatkan
kepada mereka hadith daripada Nabi s.a.w. iaitu: “Sesungguhnya
para anbiya’ dikebumikan di mana mereka wafat”. Maka dengan itu,
Baginda dikebumikan dalam biliknya di Madinah.
Seterusnya timbul ikhtilaf berkenaan dengan khilafah, pihak al-Ansar
ingin memberi bai’ah kepada Sa’d bin ‘Ubadah; kemudian pihak Quraish
menyatakan bahawa imamah mestilah di tangan orang-orang Quraish
berdasarkan kepada hadith yang bermaksud, “Imam-imam hendaklah
daripada kalangan orang-orang Quraish”. Ikhtilaf berkenaan dengan
imamah ini berterusan sehinggalah ke zaman ‘Abdul Qahir al-Baghdadi
r.h. dan boleh dikatakan kesan-kesannya sampai sekarang masih
wujud di kalangan muslimin.
Kemudian timbul ikhtilaf berkenaan dengan harta Fadak di mana
akhirnya diselesaikan dengan Abu Bakar r.a. meriwayatkan hadith
yang bermaksud: “Sesungguhnya para anbiya’ tidak dipusakai”. Selepas
itu timbul masalah tentang mereka yang tidak mahu menunaikan zakat
yang akhirnya mereka bersetuju dengan keputusan Abu Bakar r.a.
bahawa golongan yang enggan itu hendaklah diperangi.
Sesudah itu mereka sibuk dengan peperangan melawan Tulaihah apabila
ia mengaku menjadi nabi dan murtad daripada agama Islam. Dia kemudiannya
lari ke Syam dan kembali dalam zaman Umar kepada agama Islam di
mana dia keluar jihad bersama Sa’ad bin Abi Waqqas dalam peperangan
Qadissiyyah dan syahid dalam peperangan Nehawand.
Seterusnya kaum muslimin sibuk dengan peperangan melawan Musailamah
al-Kadhdhab yang mengaku nabi, serta al-Aswad bin Zaid’ansi. Kemudian
mereka sibuk dengan membunuh selain mereka yang murtad keluar
daripada agama Islam. Sesudah itu mereka sibuk pula dengan peperangan
melawan kerajaan Rom Timur dan juga kerajaan Farsi sehingga Allah
membuka negeri-negeri untuk mereka. Pada masa itu mereka berperang
berdasarkan pegangan yang satu tentang bab-bab keadilan Tuhan,
Tauhid, al-Wa’d, al-Wa’id, dan lain-lain hal dalam usulu’d-din.
Manakala dalam masalah-masalah fiqh, berlaku perselisihan pendapat
di kalangan mereka tetapi perselisihan atau kelainan pendapat
itu tidak membawa kepada timbulnya kekafiran atau kesesatan di
kalangan mereka. Demikianlah keadaannya di zaman pemerintahan
Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman r.a.
Kemudian berlaku khilaf di kalangan mereka berkenaan dengan ‘Uthman
bin ‘Affan dan perkara-perkara yang dituduh ke atasnya sehingga
para penzalim membunuhnya. Seterusnya mereka berikhtilaf lagi
tentang para pembunuhnya dan mereka yang menghasut manusia supaya
menentangnya. Demikianlah khilaf itu masih ada sampai zaman kemudian,
sehingga pada zaman al-Baghdadi, dan boleh kita katakan sampai
abad kita ini.
Sesudah itu berlaku ikhtilaf pula berhubung keadaan ‘Ali bin
Abi Talib r.a. dan mereka yang terlibat dalam peperangan al-Jamal,
juga tentang kedudukan Mu’awiyah dan mereka yang terlibat dalam
peperangan Siffin, serta dua orang hakam iaitu Abu Musa al-Ash’ari
dan ‘Amru bin al-‘As. Ikhtilaf yang melibatkan mereka ini kekal
sampailah ke zaman kemudiannya, dan kita sekarang boleh mengatakan
bahawa ianya kekal sampai ke hari ini.
Kemudian pada zaman orang yang terkemudian di kalangan Sahabat,
berlakulah khilaf golongan Qadariyah berkenaan dengan qadar dan
istita’ah atau ikhtiar makhluk, iaitu berpunca daripada Ma’bad
al-Juhani dan Ghailan al-Dimashqi, serta Ja’d bin Darham. Mereka
yang terkemudian di kalangan para Sahabat bebas daripada perkara
ini semua seperti ‘Abdullah bin ‘Amr, Jabir bin ‘Abdullah, Abu
Hurairah, Ibn ‘Abbas, Anas bin Malik, ‘Abdullah bin Abi Aufa,
‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani dan yang sezaman dengan mereka. Kesemua
mereka ini mewasiatkan orang ramai supaya jangan memberi salam
kepada golongan Qadariyah dan jangan pergi sembahyang jenazah
golongan tersebut.
Seterusnya berlaku ikhtilaf di kalangan golongan Khawarij sehingga
mereka berpecah menjadi dua puluh golongan, setiap satu daripadanya
mengkafirkan yang lain. Kemudian berlakulah pada zaman al-Hassan
al-Basri r.a. khilaf dengan Wasil bin ‘Ata’ berkenaan masalah
qadar dan masalah manzilah bainal-manzilatain (kedudukan di antara
dua kedudukan: antara iman dan kufur). Masalah ini menjadi bertambah
besar pula dengan timbulnya bid’ah daripada ‘Amru bin ‘Ubaid bin
Bab di mana kedua-duanya disingkir oleh al-Hasan daripada majlisnya,
lalu mereka berdua meninggalkan jamaah di Masjid Basrah. Kedua-dua
mereka itu dan para pengikutnya dipanggil Mu’tazilah kerana mereka
itu memisahkan diri daripada pegangan umat di mana mereka mendakwa
bahawa orang fasiq daripada kalangan muslimin adalah tidak mu’min
dan tidak juga kafir.
Bagi golongan Rawafid, cawangan yang dipanggil al-Sababiyah di
kalangan mereka telah menzahirkan bid’ah pada zaman ‘Ali bin Abi
Talib lagi. Mereka itu dihukum oleh ‘Ali dan Ibn Saba dikenakan
hukuman pembuangan lantaran bid’ahnya itu. Golongan ini tidak
termasuk umat Islam kerana mereka berpendapat ‘Ali r.a. sebagai
Tuhan. Selepas zaman ‘Ali, golongan Rafidah itu berpecah menjadi
empat golongan iaitu Zaidiyah, Imamiyah, Kaisaniyah dan golongan
Ghulat (pelampau). Golongan Zaidiyah pula menjadi berpuak-puak,
begitu juga Imamiyah dan Ghulat di mana satu golongan mengkafirkan
yang lainnya. Seluruh golongan Ghulat keluar daripada umat Islam.
Dalam pada itu, bagi golongan Zaidiyah dan Imamiyah, mereka terbilang
daripada golongan Islam (firaq al-Islam).
Golongan Bakhkhariyah berpecah dan mereka saling kafir mengkafirkan.
Timbul khilaf daripada golongan Bakriyah iaitu seorang yang bernama
Bakr daripada saudara perempuan ‘Abdul Wahid bin Ziyah. Begitu
juga timbul khilaf golongan Dirariyah daripada Dirar bin ‘Amr
dan khilaf al-Jahmiyah daripada Jahm bin Safwan. Kemunculan Jahm,
Bakr dan Dirar adalah pada zaman zahir Wasil bin ‘Ata’ dengan
kesesatannya.
Pada zaman al-Ma’mun al-‘Abbasi pula timbullah seruan Batiniyah
dan mereka ini bukanlah daripada golongan Islam, bahkan mereka
ini adalah daripada golongan Majusi. Dan muncul pada zaman Muhammad
bin Tahir bin ‘Abdullah bin Tahir di Khurasan khilaf al-Karramiyah
al-Mujassimah.
Berkenaan golongan Zaidiyah daripada kalangan Rawafid, kumpulan
yang kuat di kalangan mereka ada tiga iaitu Jarudiyah, Sulaimaniyah
(juga dipanggil Haririyah) dan al-Batriyah. Tiga golongan ini
bersepakat tentang imamah Zaid bin ‘Ali bin al-Hussain bin ‘Ali
bin Abi Talib pada hari keluarnya beliau iaitu pada zaman Hisham
bin ‘Abdul Malik.
Daripada golongan Kaisaniyah pula timbul banyak golongan, walau
bagaimanapun akhirnya kembali menjadi dua golongan sahaja. Satu
golongan yang mendakwa bahawa Muhammad bin al-Hanafiyah adalah
hidup dan tidak mati di mana mereka menunggunya muncul sebagai
al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu. Satu golongan lagi yang mempercayai
imamahnya pada masa hidupnya sahaja dan bila ia meninggal imamahnya
itu berpindah kepada orang lain.
Golongan Imamiyah yang mufarawah bagi Zaidiyah, Kisa’iyah dan
Ghulat, mereka ini berpecah menjadi lima belas firqah iaitu Muhammadiyah,
al-Baqiriyah, al-Nawisiyah, Shumaitiyah, ‘Ammariyah, Isma’iliyah,
Mubarakiyah, Musawiyah, Qat’iyah dan Ithna ‘Ashariyah, Hishamiyah
daripada pengikut Hisham bin al-Hakam, atau daripada pengikut
Hisham bin Salim al-Jawaliqi, Zharariyah daripada pengikut Zurarah
bin U’yun, Yunusiyah daripada pengikut Yunus al-Qummi, Shaitaniyah
daripada pengikut Shaitan al-Taq dan Kamiliyah daripada pengikut
Abu Kamil; beliau inilah yang mengeluarkan kata-kata yang paling
keji tentang ‘Ali dan para sahabat yang lain r.a. Inilah dua puluh
golongan yang merupakan golongan Rawafid iaitu tiga daripada Zaidiyah,
dua daripada Kaisaniyah dan lima belas dari Imamiyah.
Manakala golongan Ghulat pula, lahir kumpulan-kumpulan yang berpegang
kepada ketuhanan imam-imam mereka dan mengharuskan perkara-perkara
yang diharamkan oleh syara’ serta yang menggugurkan kewajipan
perkara-perkara yang wajib daripada syariat seperti Bayyaniyah,
Mughiriyah, Janahiyah, Mansuriyah, Khattabiyah, Hululiyah dan
yang mengikuti perjalanan mereka itu. Maka mereka ini semua bukan
daripada golongan Islam sekalipun mereka dikaitkan dengannya.
Bagi golongan Khawarij pula, apabila berlaku perpecahan di kalangan
mereka, maka mereka menjadi dua puluh golongan iaitu Muhakkimah
Ula, Azraqiyah, Najdiyah, Sifriyah, ‘Ajradiyah di mana daripada
‘Ajradiyah ini berpecah menjadi Khazimiyah, Shu’aibiyah, Ma’lumiyah,
Majhuliyah, Ma’badiyah, Rashidiyah, Mukarramiyah, Hamziyah, Ibrahimiyah
dan Wafiqiyah.
Manakala daripada golongan Ibadiyah, timbul perpecahan menjadi
Hafsiyah, Harithiyah, Yazidiyah dan para ahli taat yang bukan
terhadap Allah. Yazidiyah itu ialah daripada kalangan mereka yang
mengikuti Ibn Yazid bin Unais dan mereka ini bukan daripada golongan
Islam kerana mereka berpegang kepada pendapat bahawa syari’at
Islam kalangan orang-orang bukan Arab (al-‘Ajam). Demikian juga
daripada ‘Ajradiyah itu timbul golongan Maimuniyah yang bukan
daripada golongan Islam kerana mereka mengharuskan perkahwinan
anak perempuan dari anak perempuan dan anak perempuan dari anak
lelaki sebagaimana yang diharuskan oleh orang-orang Majusi, sungguhpun
disebutkan bahawa Yazidiyah dan Maimuniyah itu dinisbahkan kepada
golongan Islam.
Golongan Qadariyah Mu’tazilah yang memisahkan diri mereka daripada
yang baik telah berpecah kepada dua puluh golongan, setiap satunya
mengkafirkan yang lain. Mereka ialah golongan Isliyah, ‘Umariyah,
Hudhailiyah, Nazzamiyah, Amwariyah, ‘Umariyah, Thumamiyah, Jahiziyah,
Hayitiyah, Himariyah, Khayyatiyah, Sahhamiyah dan para pengikut
Salih Qabah, Muwaisiyah, Kalbiyah, Jubba’iyah dan Hashimiyah yang
dinisbahkan kepada Abu Hashim ibn al-Jubba’i. Mereka ini terdiri
daripada dua puluh golongan di mana dua daripadanya bukan daripada
golongan Islam iaitu golongan Hayitiyah dan Himariyah.
Golongan Murji’ah pula ada tiga cawangan; pertama: mereka yang
murji’ah, beriman dan berpegang kepada qadar mengikut Mazhab Qadariyah,
maka dengan itu mereka terbilang di kalangan golongan Qadariyah;
kedua: Murji’ah seperti Abu Shimr al-Murji’i dan Muhammad Shabib
al-Basri al-Khalidi; dan ketiga: mereka yang beraliran Murji’ah,
beriman dan cenderung kepada ajaran Jahm dalam bab amalan-amalan,
maka mereka itu daripada golongan Jahmiyah dan Murji’ah. Satu
lagi golongan Murji’ah iaitu yang tidak cenderung kepada aliran
yang lain. Mereka ialah golongan Yunsiyah, Ghassaniyah, Thaubianiyah,
Tuminiyah dan Muraisiyah.
Golongan Najjariyah pada zaman Baghdadi berada di Rayy yang terdiri
daripada sepuluh golongan lebih dan mereka ini kembali kepada
asal tiga golongan iaitu Burghuniyah, Za’faraniyah dan Mustadrikah.
Manakala golongan Bakriyah dan Dirariyah, tiap-tiap satunya adalah
satu golongan tersendiri yang tidak mempunyai pengikut yang ramai.
Begitu juga golongan Jahmiyah yang merupakan satu golongan tersendiri.
Dan golongan Karramiyah berada di Khurasan terdiri daripada tiga
golongan iaitu Haqqaqiyah, Tarayiqiyah dan Ishaqiyah, namun ketiga-tiga
golongan ini tidak mengkafirkan antara satu sma lain.
Setelah menyenaraikan firqah-firqah itu, al-Baghdadi r.h. menyatakan
bahawa itulah firqah-firqah yang disenaraikannya yang terdiri
daripada tujuh puluh dua firqah, dua puluh daripadanya adalah
kalangan Rawafid, dua puluh daripada kalangan Khawarij, dua puluh
lagi daripada kalangan Qadariyah, sepuluh daripada kalangan Murji’ah
dan tiga daripada kalangan Najjariyah, Bakriyah, Dirariyah, Jahmiyah
dan Karramiyah. Inilah yang dikatakan tujuh puluh dua firqah itu.
Selepas itu beliau menyebutkan golongan yang ketujuh puluh tiga
itulah golongan Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah yang terdiri daripada
dua golongan besar di kalangan mereka iaitu golongan yang banyak
berpegang kepada pendapat (al-ra’y) (selain daripada mereka berpegang
kepada al-Quran dan Sunnah), dan mereka yang berpegang kepada
Hadith (iaitu mereka lebih banyak bersandar kepada hadith daripada
menggunakan fikiran di dalam memutuskan sesuatu).
Beliau menyatakan bahawa golongan fuqaha’, qurra’, golongan ilmu
kalam dan ahli-ahli hadith daripada kalangan mereka adalah bermuafakat
atas pegangan yang satu tentang mentauhidkan Tuhan yang menjadikan
alam ini, serta sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmat-Nya, nama-nama-Nya,
dan sifat-sifat-Nya. Mereka juga bermuafakat di dalam bab-bab
nubuwwah, bab Imamah, tentang hukum-hukum di alam akhirat dan
lain-lain lagi yang terdiri daripada masalah-masalah usulu’d-din
ataupun perkara-perkara asas dalam agama. Mereka ini hanya berikhtilaf
dalam masalah halal haram daripada perkara-perkara furu’ atau
cawangan dalam hukum dan tidak ada dalam perkara-perkara yang
mereka ikhtilafkan itu yang membawa kepada kesesatan atau kefasikan.
Mereka inilah yang merupakan firqah yang selamat (al-firqah al-najiyah)
yang bersepakat dalam berikrar tentang keesaan Tuhan yang menjadikan
Qidam-Nya dan Qidam sifat-sifat-Nya yang Azaliyah dan harus memandang-Nya
dengan tidak ada tashbih dan ta’til. Mereka juga bersepakat tentang
berikrar beriman terhadap kitab-kitab Allah, para Rasul-Nya dan
percaya mereka itu diperkuatkan dan ditolongkan dengan Syari’at
Islamiyah. Mereka itu juga mengharuskan apa yang diharuskan oleh
al-Qur’an dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh al-Qur’an
serta tentang kawalan-kawalan daripada apa yang sah datangnya
daripada Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Mereka juga bersepakat dalam
beriman kepada kebangkitan dan perhimpunan hari akhirat, soalan
Munkar dan Nakir, tentang Kolam Nabi s.a.w., tentang Neraca Timbangan
Amal. Oleh itu, sesiapa yang beriman dengan kesemua ini dan tidak
mencampurkannya dengan sesuatu daripada bid’ah-bid’ah golongan
Khawarij, Rawafid dan Qadariyah serta lain-lain daripada kalangan
mereka yang mengikuti hawa nafsu sendiri maka tergolonglah ia
ke dalam golongan yang selamat, sekira takdirnya berakhir umurnya
dalam keadaan sedemikian itu.
Termasuk ke dalam golongan yang selamat ini ialah jumhur umat
Islam dan golongan terbanyaknya (al-sawad al-a’zam) yang terdiri
daripada pada pengikut Imam-imam Malik, Shafie, Abu Hanifah Auza’i,
Thauri dan Daud Zahiri.
Dalam Bughyatu’l-Mustarshidin disebutkan bahawa yang dikatakan
tujuh puluh dua golongan yang sesat itu ialah mereka yang terdiri
daripada tujuh golongan, iaitu:
Pertama: Kaum Syiah yang terlalu melebihi dan memuja Sayyidina
‘Ali dan keluarganya sehingga tidak mengakui khalifah-khalifah
Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman. Mereka ini berpecah menjadi dua
puluh dua golongan.
Kedua: Golongan Khawarij yang terlalu berlebihan dalam membenci
Sayyidina ‘Ali r.a. sehingga ada antara mereka yang mengkafirkan
beliau. Pada pandangan mereka, orang-orang yang melakukan dosa
besar menjadi kafir. Mereka ini kemudiannya berpecah menjadi dua
puluh golongan.
Ketiga: Kaum Mu’tazilah yang mempunyai fahaman bahawa Allah tidak
mempunyai sifat-sifat-Nya, manusia melakukan amalnya sendiri dengan
bebas merdeka, Tuhan tidak boleh dilihat dalam syurga dan orang
yang melakukan dosa besar diletakkan antara syurga dan neraka.
Mereka juga beranggapan bahawa Mi’raj Nabi s.a.w. adalah dengan
roh sahaja. Mereka ini berpecah menjadi dua puluh golongan.
Keempat: Kaum Murji’ah yang mempunyai pegangan bahawa sesiapa
yang melakukan dosa maka itu tidak mendatangkan mudharat bila
ia sudah beriman, sebagaimana katanya bila seseorang itu kafir
maka kebajikan yang bagaimana sekalipun dilakukannya tidak memberi
manfaat juga. Mereka ini kemudiannya berpecah kepada lima golongan.
Kelima: Golongan Najjariyah yang mempunyai pegangan bahawa perbuatan
manusia dijadikan oleh Tuhan dan Tuhan tidak mempunyai sifat-sifat.
Mereka berpecah kepada tiga aliran.
Keenam: Kaum Jabbariyah yang mempunyai keyakinan bahawa manusia
tidak terdaya apa-apa di mana usaha atau ikhtiar manusia tidak
ada sama sekali. Mereka terdiri daripada satu golongan sahaja.
Ketujuh: Kaum Mushabbihah yang mempunyai pegangan bahawa Tuhan
mempunyai sifat-sifat sebagaimana yang ada pada manusia, umpamanya
Tuhan ada tangan, kaki, duduk atas ‘Arsy, naik tangga dan turun
tangga dan sebagainya. Mereka terdiri daripada satu golongan sahaja.
Dengan itu maka jumlah mereka kesemuanya adalah tujuh puluh dua
golongan.
Golongan yang selamat ialah golongan yang satu sahaja iaitu golongan
Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah.
Sebagai reaksi daripada apa yang timbul itu yang membawa kepada
timbulnya pelbagai firqah maka timbullah golongan Ahli’s-Sunnah
wal-Jama’ah yang diketuai oleh dua orang ulama’ besar dalam Usulu’d-din
iaitu Syaikh Abu’l Hasan al-Ash’ari r.a. dan Syaikh Abu Mansur
al-Maturidi r.a. Dari segi ‘aqidah, seseorang itu boleh dipanggil
Sunni sahaja yang menunjukkan bahawa ianya adalah tergolong ke
dalam golongan Ahli’s-Sunnah; ataupun ia boleh dipanggilkan Asy’ari
atau Asya’irah.
Abu Hasan al-Asy’ari lahir di Basrah tahun 260 Hijrah dan meninggal
dunia di Basrah tahun 324 Hijrah. Pada mulanya beliau berpegang
kepada fahaman Mu’tazilah sebagaimana diajarkan oleh gurunya al-Jubba’i.
Kemudian beliau meninggalkan aliran tersebut setelah mendapat
hidayah daripada Allah. Antara kitab-kitab yang dihasilkannya
ialah al-Ibanah fi Usuli’d-Diyanah, Maqalat al-Islamiyyin dan
al Mujaz.
Antara para ulama’ besar yang menyebarkan aliran al-Asy’ari ini
ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365 Hijrah), Abu Ishaq al-Isfara’yini
(wafat 411 Hijrah), Imam Hafiz al-Baihaqi (wafat 458 Hijrah),
Imam al-Haramain, al-Juwaini iaitu guru kepada Imam al-Ghazali
(wafat 460 Hijrah), Imam al-Qusyairi (wafat 465 Hijrah), Imam
al-Baqillani, dengan kitab at-Tamhidnya yang terkenal (wafat 403
Hijrah), Imam al-Ghazali (wafat 505 Hijrah), Imam Fakhruz-Razi
(wafat 606 Hijrah) dan Imam ‘Izzud-Din ibn ‘Abdiss-Salam (wafat
606 Hijrah) yang semuanya pendokong aliran Ahli’s-Sunnah sebagaimana
yang dihuraikan oleh Imam Abdul Hasan al-Asy’ari.
Pada masa-masa kemudiannya, para ulama’ yang mendokong faham
al-Asy’ari ini ialah antaranya seperti Syaikhul-Islam Syaikh Abdullah
asy-Syarqawi (wafat 1227 Hijrah), Syaikh Ibrahim al-Bajuri (wafat
1272 Hijrah), Syaikh Nawawi al-Bantani (wafat 1315 Hijrah) dengan
kitab tauhidnya Tijanu’d-Darari dan Fathul-Majid, Syaikh Zainul’
Abidin bin Muhammad al-Fatani dengan ‘Aqidatun-Najin dan Syaikh
Husain al-Tarabalasi dengan al-Husun al-Hamidiyahnya yang terkenal
itu.
Imam Abu Mansur al-Maturidi r.a. juga dianggap sebagai pengasas
usulu’d-din di kalangan Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah di mana namanya
biasa disebut bersekali dengan nama Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari.
Beliau dilahirkan di kampung Maturid di Samarqand, Asia Tengah
dan meninggal dunia di sana juga pada tahun 333 Hijrah iaitu sepuluh
tahun setelah wafatnya Imam Abu Hasan al-Asy’ari. Beliau mempertahankan
pegangan Ahli’s-Sunnah dalam menghadapi pelbagai fahaman yang
batil pada zamannya sebagaimana juga keadaannya dengan Imam Abul
Hasan al-Asy’ari. Oleh kerana jasanya, sepertimana yang disebutkan
dalam Syarah Ihya’ oleh Murtada az-Zabidi, lalu apabila dikatakan
Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah maka yang dimaksudkan ialah aliran yang
diajarkan oleh Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi.
III
Siapakah yang digolongkan ke dalam firqah Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah
itu?
Antara golongan yang dinyatakan termasuk ke dalam firqah Ahli’s-Sunnah
itu ialah sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Baghdadi dalam al-Farq
baina ‘l-Firaqnya, mereka itu terdiri daripada lapan golongan
iaitu:
Pertama: Mereka yang mempunyai dan beryakinan tentang bab-bab
mengesakan Allah, Nubuwwah, hukum-hukum wa’d (janji memberi balasan
baik kepada mereka yang melakukan kebaikan) dan wa’id (iaitu janji
memberi balasan jahat kepada mereka yang melakukan kejahatan jika
tidak diampunkan), pahala, balasan azab, syarat-syarat ijtihad
dan imamah serta mereka menjalani jalan agama yang sedemikian.
Mereka ini termasuklah daripada golongan mutakallimin yang bebas
daripada tashbih dan ta’til daripada perkara-perkara bid’ah Rawafid,
Khawarij, Jahmiyah, Najjariyah dan lain-lain golongan sesat yang
mengikuti hawa nafsu.
Kedua: Mereka yang terdiri daripada imam-imam dalam ilmu fiqh
yang terdiri daripada dua golongan pula, iaitu mereka yang berpegang
kepada hadith (tidak begitu berpegang kepada fikiran atau ra’y)
dan yang berpegang kepada hadith (selepas daripada berpegang kepada
al-Qur’an). Mereka ini terdiri daripada golongan yang beri’tikad
tentang dasar-dasar agama (usulu’d-din) mazhab yang percaya kepada
sifat-sifat Allah, Zat-Nya dan mereka yang bersih daripada pegangan
Qadariyah dan Mu’tazilah. Mereka percaya kepada harusnya memandang
wajah Allah di akhirat dengan pandangan mata tanpa tashbih dan
ta’til, mempercayai bangkit dari kubur, soalan Munkar dan Nakir,
percaya kepada kolam Nabi s.a.w., sirat, shafa’at, keampunan dosa
dan mereka tidak mensyirikkan Allah. Mereka percaya kepada kekalnya
ni’mat syurga kepada ahlinya dan kekalnya azab neraka kepada ahlinya.
Na’udhi billahi min dhalik. Mereka percaya kepada imamah Abu Bakar,
‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali, mereka memuji golongan Salaf as-Salih
dengan pujian yang baik dan mereka berpegang kepada wajibnya sembahyang
Jumaat di belakang para imam Jumaat yang bersih daripada bid’ah
ahli hawa nafsu. Mereka ini juga berpegang kepada wajibnya istinbat
hukum-hukum syari’at daripada al-Qur’an dan Sunnah, ijma’ para
Sahabat serta mereka memegang kepada ajaran harus menyapu kasut
panjang (dalam wudhu’), berlakunya tiga talak, mengharamkan mut’ah
dan berpegang kepada wajibnya taat kepada Sultan di dalam perkara
yang bukan maksiat terhadap Allah.
Termasuk juga ke dalam golongan ini ialah para pengikut imam-imam
Malik, Syafi’i, Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila
dan juga para pengikut Abi Thaur, Ahmad ibn Hanbal serta ahli
zahir dan lain-lain ulama fiqh yang berpegang kepada perkara-perkara
yang boleh dicapai dengan akal dan juga berpegang kepada asal
usul sifat Allah dengan tidak mencampurkan fiqhnya dengan suatu
daripada bid’ah-bid’ah sesat golongan yang mengikut hawa nafsu
yang sesat.
Ketiga: Mereka yang mempunyai ilmu yang cukup tentang jalan-jalan
riwayat hadith-hadith Nabi s.a.w. serta Sunnah-sunnah yang datang
daripada Baginda serta mereka boleh membezakan antara riwayat-riwayat
yang sahih, yang ‘sakit’, tahu tentang sebab-sebab ‘cedera’nya
para periwayat atau ‘adil’nya mereka (lalu riwayat mereka boleh
diterima) dan mereka tidak mencampuradukkan ilmu mereka itu dengan
sesuatu daripada ahli hawa nafsu yang sesat.
Keempat: Mereka yang mempunyai ilmu mencukupi tentang sastera,
nahu dan tasrif serta mereka yang mengikuti perjalanan imam-imam
dalam ilmu bahasa seperti al-Khalil, Abu ‘Amru bin al-‘Ala, Sibawaih,
al-Farra’, al-Akhfash, al-Asma’i, al-Mazini dan Abi ‘Ubaid. Dan
juga mengikuti imam-imam lain dalam ilmu nahu yang terdiri daripada
orang-orang Kufah dan Basrah yang tidak mencampuradukkan ilmu
mereka dengan bid’ah-bid’ah sesat daripada kaum-kaum sesat seperti
kaum Qadariyah, Rafidah dan Khawarij. Sesiapa yang cenderung kepada
sesuatu daripada aliran bid’ah sesat kaum sesat tersebut maka
mereka tidak termasuk ke dalam golongan Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah
dan pendapat mereka dalam lughat dan nahu tidak menjadi hujah
lagi.
Kelima: Mereka yang mempunyai ilmu yang mencukupi berkenaan dengan
segi-segi pembacaan Qur’an (qira’at) dan segi-segi tafsir ayat-ayat
al-Qur’an serta ta’wil-ta’wilnya yang sesuai dengan mazhab Ahli’s-Sunnah
wal-Jama’ah di mana bukan ta’wil-ta’wil mengikut ahli aliran-aliran
yang sesat itu.
Keenam: Golongan ahli-ahli zuhud dan sufiyah (al-zuhhad al-sufiyah)
yang mempunyai pandangan yang tajam, mengawal diri daripada apa
yang tidak sepatutnya, menguji diri dan mendapat pengalaman dalam
bidang rohaniah (absaru fa aqsaru wa’khtabaru) di mana mereka
mengambil i’tibar sebaiknya dan mereka redha dengan apa yang ditakdirkan
oleh Allah. Mereka rasa memadai dengan rezeki yang sedikit (yang
dikurniakan oleh Allah kepada mereka) dan tahu bahawa pendengaran,
pandangan dan fu’ad atau hati kesemuanya akan ditanya tentang
kebaikan dan kejahatan yang dilakukan. Mereka juga menghisab diri
atas amalan yang dilakukan walau sebesar zarrah dan mereka mempersiapkan
diri dengan persiapan yang sebaiknya untuk hari penghabisan iaitu
Akhirat.
Mereka menghuraikan ilmu mereka dengan menggunakan jalan ‘ibarat
dan isyarat mengikut perjalanan ahli-ahli ilmu hadith. Mereka
bukan mengikut golongan yang mengeluarkan kata-kata kosong dan
tidak melakukan apa yang baik lantaran ria’. Mereka juga tidak
meninggalkan apa yang baik itu semata-mata kerana malu kepada
sesiapa. Agama golongan sufiyah ini adalah agama tauhid yang menolak
tashbih dan mazhab mereka ialah tunduk menyerah diri (tafwid)
kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya serta tunduk taslim bagi
perintah-Nya, merasa memadai dengan apa yang direzekikan oleh-Nya
dan berpaling daripada menentang apa yang ditentukan Allah. Mereka
ini adalah sebagaimana yang digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Itulah pemberian daripada Allah yang dikurniakan kepada sesiapa
yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai pemberian yang amat besar”.
(al-Hadid : 21)
Ketujuh: Mereka yang bersiap sedia menjaga kubu-kubu muslimin
(di sempadan negeri Islam) dalam menghadapi orang-orang kafir,
berjuang melawan seteru muslimin, menjaga kawasan muslimin dan
juga memberi perlindungan kepada para wanita muslimin dan rumahtangga
mereka serta menzahirkan pada kubu-kubu mereka itu mazhab Ahli’s-Sunnah
wal-Jama’ah. Berkenaan dengan mereka inilah Allah turunkan firman-Nya
yang bermaksud:
“Dan mereka yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar
akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami”.
(al-Ankabut : 69)
Mudah-mudahan Allah kurniakan kepada mereka itu taufik dengan
pemberian dan kemurahan-Nya.
Kelapan: Negeri-negeri yang mendokong mazhab Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah
dan bukannya mendokong tempat-tempat yang merupakan syi’ar-syi’ar
bagi golongan-golongan yang sesat dan mengikut hawa nafsu. Apa
yang dimaksudkan dengan golongan ini ialah golongan orang ramai
di mana-mana sahaja yang beri’tikad tentang benarnya ulama’ Ahli’s-Sunnah
wal-Jama’ah yang berpegang kepada bab-bab keadilan Tuhan, Tauhid-Nya,
wa’d, wa’id, dan mereka merujuk kepada ulama’ Ahli’s-Sunnah dalam
bimbingan ajaran-ajaran agama serta mereka mengikuti para ulama’
dalam perkara-perkara furu’ berkenaan dengan halal dan haram.
Mereka tidak beri’tikad suatupun daripada perkara yang ada dalam
pegangan golongan-golongan ahli kesesatan itu.
Inilah golongan-golongan yang berada dalam kalangan Ahli’s-Sunnah
wal-Jama’ah. Merekalah pemegang agama yang benar dan mereka berada
di atas Sirat al-Mustaqim. Semoga Allah tetapkan mereka di atas
kalimah yang haq lagi tetap di atas dunia ini dan akhirat. Allahumma
amin.
Inilah yang dikatakan golongan Ahli’s-Sunnah yang dicatatkan
daripada huraian ‘Abdul-Qahir al-Baghdadi yang merupakan sesuatu
yang sudah jelas selepas perjalanan sejarah Islam selama lebih
empat abad lamanya (al-Baghdadi meninggal pada tahun 429 Hijrah/1037
Masehi). Gambarannya adalah sesuatu yang merupakan ‘crystallization’
daripada pegangan insan dan sejarahnya boleh menjadi sebagai indeks
bagi kita memahami persoalan ini. Dengan berdasarkan kepada neraca
yang diberikan oleh al-Baghdadi ini, kita boleh menentukan kedudukan
Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah dan mereka yang berpegang kepadanya
lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi pelbagai aliran faham
Timur dan Barat sama ada yang datang dari dalam masyarakat Islam
sendiri ataupun dari luarnya. Walau bagaimanapun ini bukanlah
tujuan utama perbincangan ini.
Dalam membela kebenaran Ahli’s-Sunnah dan keselamatan kedudukan
mereka sebagaimana yang dijanjikan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w.,
al-Baghdadi dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa: “Kami tidak
mendapati sehingga hari ini daripada kalangan firqah-firqah umat
ini mereka yang bersepakat dengan perjalanan para Sahabat r.a.
melainkan golongan Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah daripada kalangan
para fuqaha’ ummah ini dan para mutakallimin. Mereka itu yang
berpegang kepada sifat-sifat Allah lain daripada golongan Rafidah,
Qadariyah, Khawarij, Jahmiyah, Najjariyah, Mushabbihah, Ghulat
dan Hululiyah”.
Kemudian beliau menyebut satu persatu di mana tidak selamatnya
pendirian-pendirian golongan lain seperti golongan Qadariyah,
Khawarij dan seterusnya. Selanjutnya beliau menghuraikan dasar-dasar
yang disepakati di kalangan Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah.
Dasar pertamanya ialah tentang mengithbatkan hakikat-hakikat
dan ilmu-ilmu. Menurut beliau, para Ahli’s-Sunnah telah berijma’
tentang thabitnya ilmu-ilmu sebagai pengertian-pengertian yang
ada pada para ulama’. Para Ahli’s-Sunnah mengatakan tentang peri
sesatnya golongan yang menafikan ilmu pengetahuan dan sifat-sifat
yang ada pada benda sehingga menganggap jahilnya golongan Sophists
yang menafikan ilmu dan hakikat sesuatu semuanya. Dianggapnya
golongan itu sebagai mengingkari apa yang mereka sendiri telah
mengetahuinya dengan secara dharuri. Demikian juga dengan golongan
Sophists (Sufasta’iyah) yang syak tentang wujudnya hakikat-hakikat.
Begitulah juga segolongan daripada mereka itu yang berpegang kepada
ajaran bahawa hakikat segala sesuatu mengikut anggapan dan menganggapkan
sah semua i’tikad-i’tikad sekalipun semuanya saling bercanggahan
dan menafikan antara satu sama lain. Semua tiga golongan ini kafir
dan engkar serta degil untuk menerima apa yang diwajibkan akal
secara dharuri.
Bagi Ahli’s-Sunnah, ilmu manusia dan ilmu haiwan-haiwan lain
terdiri daripada tiga jenis ilmu iaitu:
Pertama: Ilmu yang badihi iaitu secara tersendiri tanpa difikirkan.
Kedua: Ilmu yang bersifat hissi iaitu melalui pengalaman pancaindera.
Ketiga: Ilmu istidlali iaitu yang datang dengan manusia menerusi
pengambilan dalil menggunakan akal.
Mereka menyatakan bahawa sesiapa yang menolak ilmu-ilmu yang
badihi ataupun ilmu yang hissiyah yang datang melalui pengalaman
pancaindera yang lima adalah orang yang degil. Manakala orang
yang tidak menerima ilmu-ilmu yang bersifat nazariah atau yang
datang dengan pemikiran menerusi pengambilan dalil maka ia perlu
diteliti. Sekiranya ia terdiri daripada orang yang menolak dan
mengingkari pemahaman berpandukan akal berkenaan ilmu-ilmu yang
boleh difahami dengan akal secara langsung, maka ia adalah kafir
mulhid. Hukumnya adalah seperti hukum Dahriyah (atau fahaman yang
tidak percaya kepada Tuhan dan mengithbatkan wujud alam benda
sahaja) kerana pegangan mereka bahawa alam ini adalah abadi dengan
menafikan Tuhan yang menjadikan. Tambahan lagi pegangan mereka
itu membatalkan semua agama-agama.
Bagi seseorang yang berpegang kepada kefahaman akal dalam perkara-perkara
yang boleh difahamkan dengan akal, dan ia tidak menerima qiyas
dalam masalah furu’ hukum syariat sebagaimana ahli mazhab Zahiriyah,
maka ia tidak menjadi kafir dengan ia mengingkari qiyas secara
syar’i itu. Golongan Ahli’s-Sunnah menerima pancaindera sebagai
punca-punca pengetahuan yang diakui dan pengesanan pancaindera
adalah diterima.
Golongan Ahli’s-Sunnah juga menyatakan bahawa khabar mutawatir
adalah satu jalan ilmu yang dharuri dan sesuatu yang datang melalui
punca tersebut adalah sahih, misalnya tentang sahnya ada negeri
yang belum dikunjungi oleh seseorang itu, tetapi ia dengar berita
mutawatir tentangnya. Itu adalah sebagaimana ilmu kita tentang
adanya para anbiya’ dan raja-raja sebelum zaman kita. Manakala
tentang benarnya pengakuan para anbiya’ berkenaan pangkat kenabian
mereka maka itu diketahui oleh kita berdasarkan hujah-hujah ilmu
secara nazariah.
Golongan Ahli’s-Sunnah menyatakan bahawa hadith yang melazimkan
kita beramal dengannya ada tiga jenis iaitu mutawatir, ahad dan
mustafid iaitu yang tengah-tengah antara kedua-duanya. Khabar
mutawatir yang mustahil ianya direka-rekakan adalah berkedudukan
sebagai ilmu yang dharuri, contohnya ialah berita tentang negeri-negeri
yang belum kita kunjungi dan ilmu yang kita tahu tentang raja-raja
dan nabi-nabi serta generasi-generasi sebelum kita. Dengan sebab
itulah seseorang dapat mengetahui kedua-dua ibubapanya dan dengan
kedua-duanya ia dinisbahkan.
Khabar ahad pula, apabila sah isnadnya dan matannya bukan mustahil
pada akal, maka ianya wajib diamalkan. Ianya berkedudukan sebagai
kesaksian seorang yang adil di sisi hakim di mana wajib si hakim
memutuskan hukum berdasarkannya pada zahir sekalipun ia tidak
mengetahui tentang benarnya iaitu dalam kesaksian. Dan dengan
khabar jenis inilah maka para fuqaha’ menthabitkan kebanyakan
daripada furu’ hukum-hukum syariah dalam ibadat, mu’amalat dan
lain-lain bab halal dan haram. Golongan Ahli’s-Sunnah menganggapkan
sesat mereka yang menggugurkan wajib beramal dengan khabar ahad
daripada kalangan Rafidah, Khawarij dan lain-lain golongan sesat.
Khabar mustafid yang duduk di tengah-tengah antara yang mutawatir
dan yang ahad, maka ianya seperti mutawatir dalam wajibnya berilmu
dan beramal dengannya. Namun ia berlainan pula daripada yang mutawatir
kerana ilmu yang datang dari khabar mustafid adalah ilmu yang
muktasab yang nazari, sedangkan ilmu yang datang dari yang mutawatir
pula adalah dikirakan dharuri tidak muktasab. Dan khabar jenis
ini ada bahagian-bahagiannya pula. Termasuk ke dalam jenisnya
ialah khabar-khabar tentang para anbiya’. Demikian juga termasuk
khabar yang tersebar di kalangan manusia yang tidak sahih mereka
itu melakukan. Apabila seseorang di kalangan mereka tidak mengatakan
ianya bohong, maka kita ketahui bahawa orang itu berkata benar.
Dengan khabar cara inilah kita ketahui tentang mu’jizat-mu’jizat
Nabi kita s.a.w., tentang terbelahnya bulan, bertasbihnya anak
batu dalam tangannya, menangisnya pelepah tamar dan sebagainya.
Demikian juga khabar-khabar mustafidah antara imam-imam hadith
dan fiqh yang mereka ijma’ bahawa khabar-khabar tersebut adalah
sahih seperti hadith-hadith tentang syafa’at, Hisab, Haud, Sirat,
Mizan, azab kubur dan soal Munkar dan Nakir.
Begitu juga khabar mustafidah yang banyak dalam hukum-hukum fiqh
seperti nisab zakat, hadd bagi yang minum arak, hadith-hadith
tentang menyapu khuf, tentang rejam, dan sebagainya yang diijma’kan
oleh fuqaha’. Maka golongan Ahli’s-Sunnah menganggap sesat mereka
yang tidak memahami seperti mereka berkenaan hal-hal tersebut
seperti kaum-kaum sesat yang mengikut hawa nafsu mereka. Contohnya
ialah kesesatan kaum Khawarij yang menolak rejam, sesatnya kaum
Najdiah yang mengingkari hadd kerana meminum arak dan mengingkari
harusnya menyapu khuf; dan menjadi kafir mereka yang mengingkari
memandang Allah di Akhirat serta yang mengingkari Haud, syafaat
dan azab kubur.
Demikian juga Ahli’s-Sunnah menganggap sesat kaum Khawarij yang
memotong tangan pencuri yang mencuri sedikit atau banyak daripada
tempat simpanan atau tidak, begitu juga Ahli’s-Sunnah menyesatkan
golongan yang menolak khabar mustafid. Sebagaimana Ahli’s-Sunnah
menganggapkan sesat golongan yang menthabitkan mansukhnya hukum
khabar yang sepakat tentangnya fuqaha’ golongan Ra’y dan Hadith,
begitulah juga mereka menganggapkan sesat golongan Rafidah yang
mengharuskan kahwin mut’ah sedangkan keharusannya sudah dimansukhkan.
Golongan Ahli’s-Sunnah bersepakat bahawa Allah Ta’ala mewajibkan
ke atas para hamba-Nya supaya mencapai ma’rifat terhadap-Nya dan
juga mewajibkan ma’rifat terhadap Rasul-Nya, kitab-Nya dan beramal
dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah.
Juga golongan Ahli’s-Sunnah menganggapkan kafir sesiapa yang
menegaskan – dari kalangan Qadariyah dan Rafidah – bahawa Allah
tidak mewajibkan ma’rifat terhadap-Nya sebagaimana yang dipegang
oleh Thumamah dan al-Jahiz serta satu golongan daripada Rafidah.
Mereka bersepakat bahawa tiap-tiap ilmu kasbi dan nazari harus
Allah menjadikan kita mesti mengetahui tentangnya. Dan golongan
Ahli’s-Sunnah menganggapkan kafir sesiapa yang menegaskan, daripada
kalangan Mu’tazilah, bahawa ma’rifat terhadap Allah di Akhirat
adalah dihasilkan dan muktasabah di mana tidak termesti kepada
ma’rifat-Nya.
Golongan Ahli’s-Sunnah bersepakat bahawa punca-punca hukum-hukum
syar’iyah adalah al-Quran, Sunnah dan Ijma’ golongan Salaf. Mereka
menganggapkan kafir orang yang menegaskan, daripada kalangan Rafidah,
bahawa pada hari ini – pada zaman al-Baghdadi ialah abad kelima
Hijrah – tidak ada hujah dalam al-Quran dan Sunnah kerana mereka
mendakwa bahawa para sahabat ada mengubahkan sebahagian daripada
al-Quran dan melakukan tahrif terhadap sebahagian daripadanya.
Golongan Ahli’s-Sunnah menganggapkan kafir golongan Khawarij
yang menolak seluruh kitab sunan yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat
hadith kerana pada pandangan mereka periwayat-periwayat hadith
itu kafir.
Golongan Ahli’s-Sunnah juga menganggapkan kafir al-Nazzam yang
mengingkari hujah ijma’ dan hujah daripada riwayat mutawatir.
Mereka menghukum kafir bagi orang yang berpendapat mungkin seluruh
umat Islam berijma’ dalam kesesatan (ijtima’ al-ummah ‘ala al-dalalah)
dan juga kerana ia berpendapat adalah harus mereka yang terlibat
dalam riwayat yang mutawatir itu bermuafakat mereka-rekakan sesuatu
yang bohong.
Inilah penerangan tentang apa yang disepakati oleh Ahli’s-Sunnah
berkenaan dengan dasar yang pertama.
Dasar yang kedua ialah pegangan Ahli’s-Sunnah tentang barunya
alam ini. Mereka telah ijma’kan bahawa alam itu adalah segala
sesuatu yang selain daripada Allah. Dan mereka ijma’kan bahawa
segala yang selain daripada Allah dan sifat-sifatNya yang azali
adalah makhluk yang dijadikan serta diciptakan oleh Allah. Mereka
juga bersepakat bahawa Tuhan yang menjadikan itu bukanlah makhluk,
bukan yang diciptakan, bukan daripada jenis alam ini dan bukan
juga sesuatu daripada sejuzuk alam ini.
Mereka bersepakat lagi bahawa bahagian-bahagian daripada alam
ini ada dua iaitu jauhar dan ‘arad (pluralnya Jawahir dan a’arad)
di mana khilaf pendapat golongan yang menafikan a’arad.
Mereka bersepakat bahawa setiap jauhar adalah juzuk yang tidak
boleh berpecah lagi. Dan mereka menganggapkan kafir al-Nazzam
dan ahli-ahli falsafah yang menganggap boleh berpecahnya tiap-tiap
juzuk daripada juzuk-juzuk benda tanpa berkesudahan dan ini dikirakan
berlawanan dengan ayat yang bermaksud:
“Dan Dia (Allah) menghitung segala sesuatu satu persatu.”
(al-Jin : 28)
Golongan Ahli’s-Sunnah juga mengithbatkan para malaikat, jin
dan syaitan sebagai makhluk-makhluk yang ada dalam alam ini, dan
menganggap kafir golongan yang menafikan sedemikian itu yang terdiri
daripada kalangan ahli falsafah dan golongan Batiniyah.
Kemudian kenyataan ini disusuli dengan beberapa kenyataan tentang
sesatnya golongan ahli falsafah dan Mu’tazilah dalam hal yang
berkaitan dengan alam benda dan konsep alam.
Mereka menganggap kafir Abul-Hudhail yang berpegang kepada pegangan
bahawa ni’mat syurga dan azab neraka itu terputus; dan menganggap
kafir golongan Jahmiyah yang berpendapat syurga dan neraka itu
tidak kekal.
Dasar yang ketiga ialah berkenaan dengan Tuhan yang menciptakan
alam serta Sifat-sifat-Nya. Bagi Ahli’s-Sunnah, segala sesuatu
yang baru itu mesti ada yang menjadikannya dan mereka berpegang
kepada pegangan bahawa Tuhan yang menjadikan alam ini maka Dia-lah
yang menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-‘arad. Mereka menganggap
kafir Mu’ammar dan para pengikutnya daripada kalangan Qadariyah
yang berpendapat bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu daripada
‘arad-‘arad sebaliknya Dia hanya menjadikan jisim-jisim.
Disebutkan juga bahawa golongan Ahli’s-Sunnah bersepakat bahawa
Tuhan tidak dikandung oleh tempat dan tidak berlalu atas-Nya masa
di mana ini khilaf dengan golongan yang mengatakan Tuhan menyentuh
‘Arsy yang terdiri daripada golongan Syihamiyah dan Karramiyah.
Ahli’s-Sunnah juga berijma’ menafikan adanya kecederaan, kesedihan,
kesakitan dan kelazatan daripada Tuhan serta gerak dan diam, ini
adalah khilaf dengan pendapat golongan Hisyamiyah daripada golongan
Rafidah yang menganggap harus ada gerak pada Tuhan.
Dinyatakan lagi bahawa Ahli’s-Sunnah berijma’ bahawa Allah Maha
Kaya, tidak berkehendakkan kepada makhluk-Nya, Dia tidak mendapat
manfaat daripada menjadikan makhluk-Nya itu dan juga Dia tidak
menolak kemudaratan daripada diri-Nya dengan menjadikan makhluk-Nya
itu. Inilah khilaf pegangan Majusi yang mendakwa bahawa Allah
menjadikan para malaikat bagi menolakkan kesakitan pada diri-Nya
yang datang daripada syaitan dan penolong-penolongnya.
Ahli’s-Sunnah juga berijma’ bahawa Tuhan yang menjadikan alam
ini adalah tunggal iaitu khilaf dengan pendapat yang mengatakan
Tuhan itu adalah dua yang sedia kala, satunya cahaya atau Nur
dan satu lagi ialah kegelapan atau Zulmah (golongan Yazdan dan
Ahriman di kalangan Majusi). Pegangan tentang keesaan Tuhan ini
berlawanan dengan pegangan golongan Ghulat di kalangan Rafidah
yang menyatakan bahawa Allah menyerahkan tadbiran alam kepada
sayyidina ‘Ali yang merupakan Khaliq yang kedua.
Dasar keempat ialah berkenaan dengan sifat-sifat yang ada pada
Zat Allah di mana Ahli’s-Sunnah berpegang bahawa Ilmu Allah, Qudrat-Nya,
Hayat-Nya, Iradat-Nya, Sama’-Nya, Basar-Nya dan Kalam-Nya adalah
sifat-sifat-Nya yang azali serta abadi. Golongan Mu’tazilah menyatakan
bahawa tidak ada Qudrat, Ilmu atau Hayat bagi Allah Ta’ala dan
Dia tidak dapat dilihat di Akhirat.
Ahli’s-Sunnah berijma’ bahawa Qudrat Allah yang berlaku di atas
segala yang ditakdirkan itu, semuanya sebagai satu qudrat yang
dengannya ditakdirkan semua yang ditakdirkan-Nya itu. Ini disusuli
dengan kesesatan-kesesatan Mu’tazilah dalam hal berkenaan perkara
ini.
Ahli’s-Sunnah juga berijma’ bahawa Ilmu Allah adalah satu di
mana dengannya itu Dia mengetahui segala maklumat secara satu
persatu. Satu golongan daripada Rafidah mengatakan bahawa Allah
tidak mengetahui sesuatu sebelum adanya manakala Zurarah bin A’yun
dan para pengikutnya di kalangan Rafidah menyatakan bahawa Ilmu
Allah, Qudrat-Nya, Hayat-Nya, dan lain-lain sifat yang baru di
mana Dia tidak Hidup, Berkuasa dan Mengetahui melainkan sehingga
Dia menjadikan bagi diri-Nya Hayat, Qudrat, Ilmu, Iradat, Sama’
dan Basar.
Golongan Ahli’s-Sunnah berijma’ bahawa Sifat Sama’ dan Basar
Tuhan meliputi segala yang didengar dan segala yang dilihat; dan
Tuhan sentiasalah melihat bagi diri-Nya dan Mendengar bagi Kalam
diri-Nya. Ini diikuti dengan khilaf Mu’tazilah.
Golongan Ahli’s-Sunnah berijma’ bahawa Allah boleh dilihat oleh
orang-orang yang beriman di Akhirat. Ini adalah berlawanan dengan
pendapat Qadariyah dan Jahmiyah yang menganggap bahawa mustahil
Allah boleh dilihat di Akhirat.
Antara lain dinyatakan juga bahawa Ahli’s-Sunnah berijma’ bahawa
Iradat Allah adalah Masyi’ah atau kehendak-Nya; dan mereka ijma’kan
bahawa kehendak-Nya lulus dalam apa yang dikehendaki-Nya mengikut
ilmu-Nya. Ini disusuli dengan golongan yang menyalahinya dan juga
kenyataan-kenyataan tentang sifat-sifat lain seperti Hayat, tanpa
Roh, Sifat Kalam serta khilaf golongan yang berpendirian berlainan.
Dasar kelima ialah tentang Nama-nama Allah yang diambil daripada
al-Qur’an dan Sunnah yang sahih.
Dasar keenam pula ialah tentang keadilan Allah. Dinyatakan pendirian
Ahli’s-Sunnah kemudian diikuti dengan khilaf golongan yang berlainan
pegangan daripadanya.
Dasar ketujuh ialah tentang nubuwwah dan risalah, perbezaan antara
nabi dan rasul, keramat, kedudukan pada malaikat dengan para anbiya’
dan disusuli dengan khilaf golongan-golongan yang menyalahi pegangan
Ahli’s-Sunnah.
Dasar kelapan ialah berkenaan dengan mu’jizat dan keramat, mu’jizat
yang dihubungkan dengan nubuwwah, keramat dihubungkan dengan auliya’
dan diikuti dengan khilaf mereka yang menyalahi pegangan Ahli’s-Sunnah.
Dasar kesembilan ialah berkenaan dengan rukun-rukun Islam daripada
syahadah sampailah kepada menunaikan haji. Ini diikuti dengan
pegangan golongan-golongan yang berlawanan dengannya.
Dasar kesepuluh ialah berkenaan dengan suruhan dan tegahan serta
hukum yang lima iaitu wajib, mahzur, masnun, makruh dan mubah.
Dan diikuti dengan pegangan golongan yang menyalahinya.
Dasar kesebelas pula ialah tentang fana’nya sekalian hamba Allah
dan hukum terhadap mereka dalam alam abadi, alam barzakh, Haud,
Sirat, Mizan dan Syafa’ah.
Dasar kedua belas ialah tentang khilafah dan imamah. Khilafah
diwajibkan ke atas umat bagi melakukan tugas-tugas tertentu, kedudukan
Khulafa’ al-Rashidin mengikut tertib khilafah mereka dan disusuli
dengan khilaf golongan yang berlainan pegangan daripadanya.
Dasar ketiga belas ialah berkenaan dengan iman, Islam, tasdiq
dan ma’rifat. Seterusnya diikuti dengan khilaf pegangan-pegangan
yang berlainan daripadanya.
Dasar keempat belas ialah berkenaan dengan auliya’, imam-imam,
para malaikat dan ajaran tentang ismah. Ini disusuli dengan khilaf
kaum-kaum yang berlainan faham daripadanya.
Dasar kelima belas ialah hukum tentang seteru-seteru Islam iaitu
mereka yang ada sebelum zahir daulah Islam dan mereka yang zahir
dalam daulah Islam.
IV
Ini adalah antara apa yang boleh dipaparkan berhubung dengan konsep
Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah serta sedikit sebanyak perkembangan
yang berlaku dalam sejarah perkembangannya. Walaupun dalam terbentuknya
konsep yang akhirnya itu kelihatan termasuk ke dalamnya segi-segi
sejarah ummah ini, namun hakikat ajaran dan amalan Ahli’-Sunnah
merupakan hakikat yang telah ada pada zaman awal Islam lagi. Perkembangan
kemudiannya itu lebih merupakan sesuatu berbentuk deployment iaitu
sesuatu pernyataan dirinya pada masa kemudian. Ianya sama sebagaimana
sepohon pokok adalah pernyataan hakikat bagi dirinya yang ada
dalam benihnya itu. Dalam konsep Ahli’s-Sunnah wal-Jama’ah inilah
terletaknya neraca penerimaan atau penolakan segala sesuatu yang
berhubungan dengan pegangan dan amalan keagamaan. Wallahu a’lam.