|
SEPATAH KATA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bissmillahi RrahmaniRrahim.
Buku ini diterbitkan untuk bacaan orang ramai khasnya
para
pelajar untuk memahami tajuk-tajuk pilihan yang ada kaitan dengan
kehidupan harian. la akan diterbitkan dalam puluhan siri. Adalah
diyakini jika diikuti keseluruhan tajuk- tajuk dalam siri ini, pembaca-pembaca
akan mempunyai asas-asas yang kuat yang dapat memandu dan memimpin
mereka dalam menempuh serta melayari hidup yang bergelora ini.
Kepada
semua pihak adalah dipohon sambutan dan sokongan kepada apa jua
bentuk penyebaran dakwah. yang dijalankan yang dapat memimpin dan
memandu kita sekalian kepada jalan yang diridhai Allah.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamualaikum.
Hj. Wan Lokman B. Hj. Wan Ahmad Pengarah,
Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam, Kelantan.
Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam, Negeri Kelantan,
Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, Kelantan.
KANDUNGAN
1. Ikhlas
2. Niat
3. Niat Faktor Yang Menentukan
4. Pengertian Ikhlas
5. Derajat Amal ,
6. Ria
7. Amal Yang Ikhlas Dan
Jalan Keluar
8. Balasan Amal Berdasar
Ria
9. Cerita Seorang Abid
Dengan Iblis
10. Kemenangan Dan Ikhlas
1. IKHLAS
Firman Allah Taala :
"Sesungguhnya Kami turunkan Kitab (Al-Quran) itu kepada engkau dengan
kebenaran. Oleh sebab itu, sembahlah Allah dengan tulus-ikhlas beragama
keranaNya semata-mata.
Ketahuilah,
bahawa agama yang suci-murni (al-khalis) itu hanya kepunyaan Tuhan.
Dan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain dari Tuhan
itu ( dengan men- gatakan): Kami tidak menyembahnya melainkan untuk
membawa kami lebih dekat kepada Tuhan.
Sesungguhnya Tuhan itu akan memutuskan perkara
di antara mereka mengenai hal yang mereka sengketakan. Tuhan tidak
memberikan pimpinan kepada orang yang pendusta lagi engkar."
(Az-Zumar: 2-3).
"Dan
mereka hanya diperintahkan supaya menyembah Tuhan, dengan tulus-ikhlas
beragama untuk Tuhan semata-mata, berdiri lurus, menegakkan sembahyang
dan membayar zakat. Dan itulah agama yang betul." (AI-Bayyinah:
5).
2. Niat
Membicarakan
soal ikhlas haruslah didahului dengan huraian tentang niat, sebab
antara keduanya mempunyai sangkut-paut yang erat, tak ubahnya laksana
pohon dengan benih.
Niat
itu adalah titik-tolak permulaan dalam segala amal, pekerjaan, perjuangan
dan lain-lain. Dia menjadi ukuran yang menentukan tentang baik buruknya
sesuatu amal atau perbuatan. Apabila niatnya baik, maka pada umumnya
buahnya pun akan baik; sebaliknya, jika niatnya buruk, maka hasilnya
pun akan buruk pula. Boleh diumpamakan seperti satu sungai yang
mengalir. Kalau sejak dari hulu airnya jernih, maka sampai ke muara
pun airnya akan tetap jernih. Tapi, kalau di hulu airnya sudah keruh,
maka sampai ke muaranya pun tentu akan keruh pula.
Fungsi
dan peranan niat itu sangat menentukan, sehingga sebahagian Ulamak-Ulamak
Salaf (dahulu kala) menyimpulkan:
"Kerapkali amal yang kecil
menjadi besar kerana (baik) niatnya; dan seringkali pula amal yang
besar menjadi kecil kerana (salah) niatnya."
Niat itu disebut juga iradah atau
qasad ( dari kata-kata qasad inilah asalnya kata-kata maksud).
Adapun
hakekat niat itu ialah keadaan atau sifat yang tumbuh dalam hati
manusia, yang menggerakkan atau mendorongnya untuk melaksanakan
sesuatu pekerjaan.
Tentang
peranaan dan kedudukan niat itu dijelaskan dalam satu Hadis, sebagai
berikut:
"Dari Amirul Mukminin Abi Hafshin 'Umar bin Khattab,
dia berkata: Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya
segala amal perbuatan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya tiap-tiap
orang memperoleh sesuatu (sesuai) dengan niatnya itu. Barangsiapa
yang hijrah pada jalan Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu
ialah kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrah kerana
ingin untuk memperoleh keduniaan, atau untuk mengawini
seorang wanita, maka hijrahnya ialah ke arah yang ditujunya
itu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Adapun sebab-sebabnya Rasulullah mengeluarkan ucapan
(Hadis) tersebut, ialah untuk menjawab pertanyaan salah seorang
Sahabat berkenaan dengan suatu peristiwa sebagai berikut:
Ketika Rasulullah hijrah dari Mekkah
ke Madinah, yang kemudian diikuti oleh sebahagian besar Sahabat-sahabat,
maka ada salah seorang laki-laki yang turut juga hijrah. Tapi niatnya
bukanlah untuk kepentingan perjuangan, hanya kerana hendak kahwin
dengan seorang wanita yang bernama Ummu Qies. Wanita itu rupanya
sudah bertekad akan turut hijrah, sedang laki-laki tersebut pada
mulanya memilih akan tinggal menetap di Mekkah. Kerana perempuan
itu memajukan syarat bahawa ia bersedia dikahwini di tempat Rasulullah
pindah (Madinah), maka akhimya laki-laki itupun turut pula hijrah.
Ketika peristiwa itu ditanyakan
kepada Rasulullah, apakah hijrah dengan motif yang demikian itu
diterima (makbul) atau tidak, beliau menjawab secara umum seperti
yang tersebut pada Hadis di atas.
Pada Hadis itu ditegaskan lebih
jauh, bahawa tiap-tiap amal perbuatan haruslah berlandaskan niat,
dan nilai amal yang dikerjakan itu pada sisi Tuhan, tergantung kepada
niat orang yang mengerjakan, tergantung kepada nawaitunya.
Jika niatnya baik, maka amalnya
akan diterima.
Sebaliknya, kalau niatnya kerana
"ada udang di sebalik batu", maka amalnya itupun akan
ditolak.
3. Niat Faktor Yang Menentukan
Seperti diterangkan di atas, niat
itu adalah faktor yang menentukan dalam sesuatu amal atau perbuatan.
Sebagai salah satu contoh yang
sederhana, kita kemukakan tentang seseorang yang masuk ke dalam
Masjid. Apabila niatnya masuk ke dalam Masjid itu untuk istirehat,
maka yang dicapainya ialah sekadar dapat berteduh dari panas matahari
yang terik. Tapi, jika niatnya masuk ke dalam Masjid itu untuk i'tikaf,
yaitu satu tatacara amaliah yang dianjurkan oleh Islam, maka dia akan mendapat pahala.
Memang,
ajaran Islam memberikan ruang-gerak yang luas kepada manusia dalam
setiap pekerjaan yang dilaksanakannya. Tiap pekerjaan yang baik,
yang sifatnya biasa dapat ditingkatkan menjadi satu pekerjaan yang
diridhai Tuhan dan mendapat pahala daripadaNya, apabila dipasang
dengan niat yang baik.
Umpamanya,
seorang suami yang membanting tulang untuk mencari nafkah lsteri dan
anak-anaknya, memasang niat bahawa itu dilakukannya supaya isteri
dan anak-anaknya tidak bimbang-bimbang mengerjakan ibadah,
supaya anaknya tekun dalam menuntut ilmu dan lain-lain sebagainya,
maka usahanya itu pada sisi Tuhan diperhitungkan sebagai amal-kebajikan
yang akan mendapat pahala.
Peranan
niat itu begitu menentukan menurut ajaran Islam, sehingga diterima
atau ditolaknya amal seseorang, sangat bergantung kepada niatnya.
Dalam
satu Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Musa
Al-Asy'ari diceriterakan, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada
Rasulullah:
"Seorang
laki-laki berperang dengan gagah berani, berperang kerana marah
dan berperang sebab ria, manakah di antara yang tiga macam itu masuk
katagori Sabilullah?
"Barangsiapa yang berperang
untuk meninggikan kalimah Allah (agama), maka itulah yang dinamakan
Sabilullah."
Malah jika ada dua orang yang berbunuh-bunuhan,
maka yang membunuh maupun yang dibunuh, kedua-duanya akan mendapat
dosa dan masuk neraka.
"Dari Abi Bakr, bahawasanya
Rasulullah berkata:
Jika dua orang Muslim berkelahi
memakai pedang, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka.
Saya bertanya: Ya Rasulullah! Yang membunuh dapat dimaklumi, tapi
kenapa begitu pula yang dibunuh? Nabi berkata: Sebab yang dibunuh
itu (pada mulanya) bermaksud juga untuk membunuh lawannya itu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
4. Pengertian
Ikhlas
Pokok
atau unsur yang penting dari setiap niat ialah ikhlas. Adapun makna
ikhlas itu ialah suci-murni, tidak bercampur dengan yang lain. Menurut
istilah Syari'ah (Islam), yang dimaksud dengan makna ikhlas itu
ialah mengerjakan ibadah atau kebajikan kerana Allah semata-mata
dan mengharapkan keridhaanNya.
Sayid Sabiq merumuskan definisi
ikhlas itu sebagai
berikut:
"Bahawa menyengaja manusia
dengan perkataannya kerana Allah semata-mata dan kerana mengharapkan
keridhaanNya. Bukan kerana mengharapkan harta, pujian, gelaran (sebutan),
kemasyhuran dan kemajuan.
Amalnya
terangkat dari kekurangan-kekurangan dan dari akhlak yang tercela,
dan dengan demikian ia menemukan kesukaan Allah." (Sayid Sabiq:
"Islamuna", halaman 36).
Di dalam
AI-Quran, Tuhan mengibaratkan ikhlas itu laksana susu yang bersih-mumi,
yang enak rasanya apabila diminum, bahkan yang dapat menyihatkan
dan menyegarkan badan manusia.
Tuhan
berfirman:
"Dan
sesungguhnya tentang kehidupan binatang-ternak itu menjadi pelajaran
bagi kamu. Kami beri minum kamu dengan apa yang ada dalam perutnya;
di antara tahi dan darah (didapati) susu yang bersih-murni (ikhlas),
mudah dan sedap ditelan oleh orang-orang yang meminumnya."
(An-Nahl: 66).
Pada ayat
tersebut Tuhan memberikan contoh tentang ikhlas itu laksana susu-murni
binatang ternak. Sebelum menjadi susu murni, yaitu tatkala masih berada dalam perut
binatang, susu itu terdiri dari dua zat yang kotor dan tidak memberikan
faedah, yaitu tahi dan darah. Setelah melalui proses, maka terjadilah
susu yang bersih-murni, tidak bercampur dengan kotoran dan zat-zat
lainnya.
Tuhan mengibaratkan bahawa sesuatu
amal yang ikhlas tak ubahnya laksana susu-murni itu.
Untuk memahami / menangkap pengertian
tentang ikhlas itu, kita jelaskan di sini pandangan seorang Ahli
Hikmat yang mengumpamakan ikhlas itu laksana air dalam kehidupan
tanam-tanaman. Ilmu diibaratkannya seperti benih; dan amal laksana
tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan itu barulah berbuah apabila dirawat,
disiram dengan air, sehingga menghasilkan buah yang dapat dimakan
dan mendatangkan faedah. Maka air dalam kehidupan tumbuh-tumbuhan
itu mempunyai peranan seperti ikhlas dalam sesuatu amal atau perbuatan.
Ertinya, amal yang akan mendatangkan faedah ialah apabila dilakukan
dengan ikhlas.
Sebagai natijah dari sesuatu amal
yang ikhlas, kita kutib di sini huraian perbandingan Imam AI-Marzabay
mengenai seseorang yang sedang mengerjakan shalat (sembahyang).
Beliau berkata: "Seorang yang mengerjakan shalat memerlukan
empat hal (keadaan), supaya shalatnya itu diterima
Tuhan. Yaitu :
(1) hatinya betul-betul hadir;
(2) akalnya turut mempersaksikan;
(3) mematuhi rukun-rukunnya;
(4) tekun (khusyu') anggota-anggotanya.
Barangsiapa yang sembahyang tanpa hatinya hadir ,
maka shalatnya adalah sia-sia. Barangsiapa yang sembahyang, sedang
akalnya tidak turut mempersaksikan (memikirkan), maka dia adalah
seorang pelaksana shalat yang lalai. Barangsiapa yang sembahyang tanpa mematuhi peraturan-peraturannya,
maka sembahyangnya batal. Siapa yang mengerjakan shalat sedang anggota-anggotanya
tidak khusyu', maka sembahyangnya itu adalah salah." (Syarah
Matan Al-Arba'in an-Nawawiyah, halaman 9).
5. Derajat
Amal
Amal itu bermacam-macam derajat
dan tingkatnya, tergantung pada niat orang yang mengerjakannya.
Yahya bin Syarifuddin an- Nawawi
membahagi amal yang baik kepada tiga macam, yaitu:
(1) Amal budak: Yaitu, beramal
kerana takut kepada Allah.
(2) Amal saudagar: Yakni, beramal
kerana mengharapkan pahala dan supaya kelak masuk ke dalam syurga.
(3) Amal manusia yang merdeka:
Yaitu, beramal sebagai bukti dan bakti kesyukuran kepada Allah;
beramal merasa sebagai satu kewajipan.
Selain dari itu, ada pula amal
yang dipasang dengan niat yang campur-aduk. Contohnya, ialah seumpama
orang-oratig yang pergi menunaikan ibadah Haji ke Mekkah, bukan kerana beribadah semata-mata, tapi juga kerana
tujuan dagang. Yaitu, di waktu akan pulang dapat membawa sekian
kilo emas, sekian dozen jamtangan "Rolex" dan lain-lain
sebagainya. Atau seperti orang yang menuntut ilmu bukan kerana melaksanakan
perintah Ilahi semata-mata, tapi di samping itu digabungkan pula
dengan tujuan supaya diangkat dan disanjung orang sebagai sarjana,
dan supaya kelak dapat berkuasa dan lain-lain.
Dilihat dari sudut hukum Syari'iyah,
ibadah Haji seperti yang diterangkan di atas, hukumnya sah juga,
tapi kurang kemurniannya, kurang afdhalnya. Demikian juga tentang
orang yang menuntut ilmu itu.
Adapun ibadah atau amal yang bercampur-gaul
antara niat yang ikhlas dengan ria, masih banyak contoh-contohnya,
di antaranya:
(a)
Mengerjakan ibadah puasa bukan kerana melaksanakan kewajipan semata-mata,
tapi bercampur dengan tujuan menjimatkan belanja hidup sehari-hari,
mengurangi makan agar badan kurus, atau kerana malas memasak nasi
dan lain-lain.
(b)
Mengerjakan sembahyang tahajjud di tengah malam bukan semata-mata kerana melaksanakan
sunat-nafilah yang dianjurkan oleh Tuhan, tapi bercampur dengan
niat yang lain, umpamanya kerana perlu berjaga-jaga sebab rumahnya
senan- tiasa diintai pencuri.
(c)
Memberikan sedekah kepada orang yang datang meminta-minta ke rumahnya bukan
kerana hendak beramal, tapi bercampur dengan niat supaya peminta-peminta
itu segera berlalu dari pekarangan rumahnya.
Sesuatu amal atau perbuatan-kebajikan
tidaklah dinilai dari jumlah dan banyaknya, tapi dari keikhlasan
niat dalam mengerjakannya. Dalam hubungan ini, Rasulullah pernah
mengatakan kepada Mu'az bin Jabal: "Berlaku ikhlaslah dalam
beramal. sebab amal yang dilakukan dengan ikhlas itu akan memadai
(mencukupi) bagimu, walaupun hanya sedikit”
6. Ria
Niat yang tidak ikhlas dinamakan ria.
Perbezaan antara ikhlas dengan ria dijelaskan oleh
Al-Haris Al-Muhasibi dalam bukunya "Ar-Ri'ayah" sebagai
berikut:
"Ikhlas itu ialah anda menuju
Tuhan dengan mentaatiNya, tidak anda kehendaki selainNya. Adapun
ria itu terbahagi dua. Pertama, mentaati Allah kerana manusia; kedua,
tujuannya manusia, dan Tuhan manusia. Kedua-duanya merosak amal."
Dapatlah
disimpulkan, bahawa ria itu niat yang buruk, yang didasarkan bukan
kerana berbakti kepada Allah dan bukan kerana mengharapkan ridhaNya.
Sebagai
salah satu contoh tentang amal yang bersifat ria itu, ialah seperti
seorang pemuda yang tadinya sama sekali tidak pernah mengerjakan
sembahyang, tiba-tiba kerana ia hendak kahwin dengan seorang wanita
dari keluarga yang kuat dan taat beragama, maka dia cepat-cepat
belajar sembahyang dan mengerjakannya dengan sungguh-sungguh"
Maksudnya yang tersembunyi ialah supaya bakal mertua itu menaruh
simpati kepadanya. Jadi, mempunyai latarbelakang.
Niat seseorang
yang didasarkan kepada ria boleh "disembunyi-sembunyikan"
dengan bermacam-macam cara, untuk meyakinkan kepada orang lain bahawa
niatnya ikhlas, tapi tidak dapat disembunyikannya terhadap Tuhan
dan tetap akan dipertanggungjawabkannya kelak di muka mahkamah Ilahi. Allah menyatakan
dalam Al-Quran:
"Sekiranya kamu terangkan apa
yang dalam hatimu atau sembunyikan, niscaya Allah akan memperhitungkan
kamu juga. Allah mengampuni orang yang dlkehendakiNya dan menyiksa
orang yang dikehendakiNya. Tuhan itu kuasa atas segala sesuatu."
(Al-Baqarah: 284).
Sifat
ria itu adalah salah satu penyakit rohaniah yang disamakan oleh
Rasulullah dengan "syirik yang kecil", termasuk dalam
perbuatan mengsekutukan Tuhan, walaupun bukan dalam bentuk yang
terang-terangan.
Di dalam salah satu Hadis diterangkan:
"Sesungguhnya yang saya amat
takuti atas kamu ialah syirik kecil (Syirkul-asghar)" Bertanya Sahabat-sahabat : Apakah yang dimaksud dengan syirik kecil itu, ya Rasulullah? Nabi menjawab: "Ria.
Ketika manusia datang untuk meminta balasan atas amal perbuatan
yang mereka lakukan,maka Tuhan berkata kepada mereka itu: Pergilah
temui orang-orang yang kerana mereka kamu beramal (ria) di dunia
tengoklah apakah kamu memperoleh balasan kebaikan dari mereka itu?"
Jika dilihat
dari pandangan Al-Quran, maka sifat ria itu adalah termasuk salah
satu sifat orang yang munafik. Tuhan menegaskan:
"Sesungguhnya orang-orang
munafik itu menipu Tuhan, maka Tuhan memperdayakan mereka pula.
Jika mereka berdiri mengerjakan sembahyang, mereka berdiri dengan
amat malasnya. Mereka mengerjakannya hanya supaya dilihat manusia.
Mereka tiada mengingati Tuhan, kecuali sedikit sekali." (An-Nisak:
142)
Mengenai
ukuran-ukuran tentang ria itu, pernah dirumuskan oleh seorang Ulamak
terkemuka, bernama Fudhail bin 'Iyadh, sebagai berikut: "Meninggalkan
amal kerana manusia adalah ria beramal kerana manusia adalah syirik;
dan (yang dinamakan) ikhlas ialah mudah-mudahan Tuhan melepaskan
kita dari kedua macam sifat tersebut. "
Maksud ucapan itu ialah, bahawa barangsiapa yang berniat
hendak mengerjakan sesuatu ibadah kemudian ditinggalkannya (dibatalkannya)
kerana takut dilihat manusia, maka dia telah berbuat ria, sebab
ditinggalkannya amal itu kerana manusia. Adapun kalau ditinggalkannya
dengan maksud untuk dikerjakan di tempat yang sepi, maka perbuatannya
itu terpuji. Dalam hal ini dikecualikan mengenai amal yang fardhu,
seperti sembahyang, zakat, puasa dan lain-lain.
Tidak termasuk dalam katagori ria
mengerjakan sesuatu amal secara terang-terangan, dilihat oleh manusia,
jika niatnya supaya dicontoh orang.
Di dalam Hadis yang diriwayatkan
oleh Tirmizi dari Abu Hurairah diterangkan, bahawa seorang laki-laki
datang kepada Rasulullah menanyakan tentang seorang yang melakukan amal secara sembunyi-sembunyi
kerana keikhlasan, kemudian dilihat orang lain, sehingga orang yang
melihat itu merasa kagum dan menimbulkan kesedaran baginya. Rasulullah
menjawab ketika itu:
"Orang yang beramal itu mendapat
dua pahala, yaitu pahala kerana sembunyi-sembunyi dan pahala kerana
terbuka (terang-terangan).
7. Amal Yang Ikhlas dan Jalan Keluar
Sesuatu amal yang dilakukan dengan
ikhlas, kecuali diterima oleh Tuhan, pun dalam kehidupan seringkali
memberi pertolongan dan jalan keluar ketika menghadapi sesuatu bencana
atau kesulitan. Artinya, Tuhan memberikan per- tolonganNya, berkat
amal yang sudah dilakukan dengan ikhlas itu.
Sebagai contoh, kita kemukakan
di sini satu peristiwa yang diceritakan dalam suatu Hadis yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim, berkenaan dengan tiga orang pemuda, y!lng
mendapat pertolongan Ilahi yang tidak disangka-sangka tatkala mereka
menghadapi satu keadaan yang mencemaskan. Di antara cerita itu adalah
sebagai berikut:
Tiga orang pemuda sedang melakukan
pengembaraan. Ketika hari sudah malam, mereka masuk ke dalam satu
gua dengan maksud untuk menginap di dalamnya satu malam saja.
Setelah mereka berada di dalam,
tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari puncak bukit itu dan tepat
menutupi pintu gua tersebut. Mereka mencuba mengeluarkan segala
kekuatan untuk menggerakkan batu besar itu, tapi sedikitpun tidak
bergerak, sebab memang beratnya bukan imbangan tenaga manusia. Dengan demikian mereka
terkurung di dalam gua dan mungkin akan mati kelaparan.
Pada saat-saat
yang amat cemas itu mereka menyedari sepenuhnya bahawa tidak ada
yang dapat memberikan jalan keluar bagi mereka dari kesulitan itu
kecuali pertolongan ilahi. Mereka memutuskan untuk berdoa kepada
Tuhan dan di dalam doa itu masing-masing mereka itu akan menyatakan
salah satu di antara amal-kebajikan yang sudah pernah mereka lakukan
dengan hati yang ikhlas.
Seorang
demi seorang mereka mulai memohonkan doa.
(1) Pemuda
yang pertama merumuskan dalam doanya itu tentang ibu-bapanya yang
sudah tua. Dia juga mempunyai seorang isteri dan beberapa orang
anak. Dia sangat hormat dan sayang kepada ibu-bapanya itu.
Tiap-tiap
pagi dia meninggalkan rumahnya, pergi menggembalakan kambing. Kalau
hari sudah petang, dia pun pulang ke rumah membawa susu kambing
murni yang segar untuk minuman ibu-bapanya,
isterinya dan anak-anaknya itu.
Pada suatu hari, kerana keperluan
yang tidak disangka- sangka, dia pulang ke rumah sudah lewat dari
waktu yang biasa. Didapatinya ibu dan bapanya sudah tidur, demikian
pula isteri dan anak-anaknya. Kerana terlalu lama menunggu-nunggunya,
maka mereka tertidur dalam keadaan perut masih kvsong. Pemuda tersebut
menyatakan lebih jauh, bahawa ia tidak sampai hati membangunkan
ibu-bapanya yang sedang tidur nyenyak itu. Bila mereka itu terbangun,
barulah akan diberi minuman yang dibawanya itu.
Adapun yang terbangun di tengah
malam ialah anaknya sendiri, yang menangis kerana lapar. Tapi, kerana
ibu-bapanya sendiri belum lagi minum, maka ia tidak memberi minum
anaknya lebih dahulu. Dibiarkannya saja anaknya itu menangis, dan
kemudian tertidur kembali.
Besok paginya, setelah ibu-bapanya
diberinya minum lebih dahulu, barulah diberinya pula kepada anak-anaknya
dan isterinya. Pada akhir doanya itu ia menadahkan tangannya dan
memohon: Ya Allah! Kalau apa yang saya lakukan itu termasuk satu
amal kebajikan yang Engkau ridhai, maka berikanlah pertolongan kepada
saya supaya dapat keluar dari gua yang tertutup pintunya ini. Tiba-tiba
batu itu bergerak sedikit, tapi masih belum memungkinkan bagi mereka
keluar dari gua tersebut.
(2) Pemuda yang kedua menyatakan,
bahawa ia cinta kepada sepupunya sendiri, yang memang parasnya sangat
cantik. Sudah bertahun-tahun mereka bergaul tapi masih ter- pelihara
dan terbatas dalam hubungan-hubungan yang baik dan biasa.
Pada suatu ketika, pemuda itu membawa
wang 120 dinar , diserahkannya sebagai pemberian kepada sepupunya
itu. Tapi, di belakang kepala pemuda itu rupanya sudah tersembunyi satu
maksud yang tertentu. Akhirnya sampailah pemuda itu kepada satu
keadaan di mana dia tidak dapat lagi mengendalikan dirinya, yaitu
hendak merangkul sepupu perempuannya itu untuk melakukan suatu perbuatan
yang terlarang. Tiba-tiba anak gadis itu berkata: Apakah engkau
tidak takut kepada Allah yang pasti melihat perbuatan ini? Jalan
yang sah masih terbuka untuk mencapai maksudmu itu, yakni dengan
menempuh perkahwinan.
Mendengar
ucapan yang tidak disangka-sangkanya itu, maka pemuda itupun memberhentikan
niatnya. Pada penutup doanya itu dikatakannya: Ya Allah! Jika Engkau
menilai tindakan saya itu sebagai satu amal kebajikan, maka lepaskanlah
saya dari bahaya yang mengancam ini.
Begitu
ucapannya itu selesai, begitu pula batu besar itu bergerak sedikit
lagi. Tapi, badan mereka masih belum boleh dapat untuk keluar.
(3) Pemuda
yang ketiga menyatakan, bahawa dia mempunyai seorang buruh yang
sudah bertahun-tahun lamanya ia tidak datang-datang, pada hal masih
ada upahnya yang belum diambil atau diterimanya. Wang upahan buruh
itu dibelikan oleh pemuda tersebut kepada seekor kambing, kemudian dipeliharanya,
sehingga beranak-pinak.
Beberapa
tahun kemudian, datanglah bekas buruhnya itu untuk mengambil upahnya.
Pemuda itu menunjukkan satu lapangan yang luas di mana terdapat
beratus-ratus ekor kambing.
Bekas
buruhnya itu mengatakan dengan sungguh-sungguh bahawa kedatangannya
adalah untuk meminta haknya itu, sebab dia sangat memerlunya, dan
janganlah hendak-nya "dipermain-mainkan". Tapi, dengan
sungguh-sungguh pula pemuda itu menjawab, bahawa dia bukanlah berolok-olok.
Diceritakannya lebih lanjut, bahawa upah yang tidak diambil oleh buruhnya itu dibelikannya
kambing yang kemudian beranak-pinak sampai jumlahnya beratus ekor.
Akhirnya, diserahkannya semuanya kepada bekas buruhnya itu, tidak
seekorpun yang diambilnya.
Kemudian,
pemuda yang ketiga itu berdoa: Ya Allah! Jika Engkau ridhai perbuatan
saya yang demikian sebagai satu amal-kebajikan, maka berikanlah
pertolongan kepada saya supaya dapat keluar dari dalam gua ini.
Seketika
itu juga batu besar yang menutupi pintu gua itu bergerak lagi, sehingga
mereka dapat keluar Inilah salah satu contoh amal-kebajikan yang
dilakukan dengan ikhlas, yang pada satu ketika yang diperlukan dengan
pertolongan Tuhan dapat memberikan jalan keluar bagi seseorang dari
satu keadaan yang susah.
8. Balasan
AmaI Berdasar Ria
Di dalam
satu Hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah
diceritakan bahawa pada hari qiamat kelak akan diadili lebih dahulu
tiga golongan manusia, yaitu:
(1) kaum pejuang
(2) kaum terpelajar
(3) kaum hartawan.
Dilukiskan
dalam Hadis tersebut proses pemeriksaan terhadap masing-masing golongan
itu sebagai berikut:
(1)
Terhadap kaum pejuang ditanya: Apakah
yang telah engkau kerjakan di dunia "Saya berjuang dan bertempur
pada jalan yang Engkau ridhai, sehingga saya tewas di medan perjuangan"
sahutnya "
Engkau berdusta!" kata Tuhan.
"Engkau tewas bukanlah kerana mempertahankan agama atau pada jalan Allah
(sabilillah), tapi hanya kerana mengharapkan supaya engkau disebut
sebagai "pahlawan " .Oleh sebab itu, tempat engkau ialah
di dalam neraka. "
(2)
Kemudian diperiksa kaum terpelajar: "Apakah
amal yang engkau kerjakan di dunia?"
"Saya menuntut ilmu, kemudian saya ajarkan pula ilmu
itu kepada orang lain.
Dalam pada itu, senantiasa saya membaca Al-Quran" sahut
kaum terpelajar itu.
"Engkau juga berbohong!" kata Tuhan.
"Sebab
engkau belajar dan mengajar ialah supaya dikatakan orang bahawa
engkau seorang Ulamak(terpelajar); engkau selalu membaca Al-Quran
supaya disebutkan orang menjadi Qari (ahli membaca Al-Quran). Kerana
itu, tempatmu juga adalah dalam neraka."
(3)
Yang terakhir dihadapkan pertanyaan kepada
kaum dermawan "Tuhan telah melapangkan hidupmu dan mengkurniakan
rezeki (harta) yang banyak kepada engkau. Apakah yang engkau lakukan
dengan nikmat itu dalam kehidupan di dunia?"
"Saya nafkahkan harta yang Engkau kumiakan itu pada jalan Allah (sabilillah)."
"dusta!" kata Tuhan.
"Engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang "dermawan".
Oleh sebab itu, tempatmu juga ialah di dalam neraka."
Ketiga-tiga
contoh itu adalah terang tentang orang-orang yang beramal kerana
ria.
9. Cerita Seorang Abid Dengan
Iblis
Contoh lainnya tentang amal yang
tidak ikhlas, yang berdasar ria, dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam
kitabnya "Ihya' 'Ulumuddin" satu cerita yang terjadi di
zaman Bani Israil. Walaupun cerita itu mungkin lebih banyak bersifat
fiktif, tapi daripadanya dapat diambil 'itibar tentang pengaruh
ikhlas dan/atau ria dalam sesuatu pekerjaan. Cerita itu kita ringkaskan
sebagai berikut:
Adapun Abid (ahli ibadah) adalah
seorang yang amat tekun beribadah. Sebahagian besar hidupnya dipergunakannya
untuk berbakti kepada Tuhan.
Pada suatu hari dilaporkan orang
kepadanya, bahawa orang-orang sekampungnya menyembah sepohon kayu
besar. Rakyat datang berduyun-duyun ke tempat itu untuk menyembah
pohon tersebut.
Dengan marah yang meluap-luap,
Abid itu bertekad akan pergi ke tempat tersebut dengan maksud memotong
pohon kayu yang dijadikan "keramat" itu. Di tengah jalan,
Abid bertemu dengan iblis yang menjelma dalam bentuk seorang laki-laki
tua.
Iblis bertanya kepada Abid: "Hendak
ke manakah engkau membawa kapak itu?" "Saya hendak pergi
ke sana " sahut Abid sambil menunjuk tempat yang akan ditujunya
itu. "Di sana ada sepohon kayu besar yang disembah oleh orang-orang
di kampung itu. Saya bermaksud menebang pohon kayu itu. "
"Untuk apakah engKau bersusah-payah
menebang pohon itu, sampai-sampai engkau meninggalkan amalanmu yang
tekun beribadat kepada Tuhan" sahut iblis.
Abid itu tidak menghiraukan nasihat
iblis tersebut. la meneruskan perjalanannya dengan tekad yang bulat
dan ikhlas untuk menebang pohon kayu besar yang menyesatkan manusia
itu.
Kerana iblis berusaha juga mencegahnya,
maka akhirnya terjadilah perkelahian Abid dengan iblis. Dalam pergumulan
itu, Abid membanting iblis sehingga terpelanting jatuh ke tanah.
Iblis kalah dalam perkelahian tersebut.
Kemudian iblis memujuk Abid itu
dengan mengatakan, bahawa ia akan menunjukkan kepada Abid tersebut
satu pekerjaan yang lebih bermenfaat dan menguntungkan. Iblis berkata:
"Tuhan tidak mewajibkan kepadamu untuk menebang
kayu itu dan tidak pula diwajibkan kepadamu untuk mencegah orang
lain menyembah pohon. Hal itu adalah kewajipan dan tugas para Nabi
dan Rasul, sedang engkau tidak masuk golongan itu."
Meskipun demikian, Abid tersebut
tetap bertekad meneruskan perjalanannya untuk menebang pohon kayu
itu. Kerana keduanya sama-sama keras, maka akhimya terjadilah lagi
perkelahian antara Abid dengan iblis. Dalam perkelahian babak kedua
ini, iblis tetap di pihak yang kalah.
Iblis kemudian memujuk Abid dengan
rayuan-rayuan: "Sekarang, saya akan berikan kepadamu keuntungan
yang terus-menerus. Engkau adalah seorang yang miskin, tidak berharta,
sebab setiap hari waktumu senantiasa habis untuk beribadah, sehingga
tidak ada kesempatan untuk mencari wang. Oleh sebab itu, saya berikan
kepadamu dua dinar tiap-tiap hari. Satu dinar boleh engkau pergunakan
untuk keperluan nafkahmu sendiri; satu dinar lagi boleh engkau sedekahkan
untuk kaum fakir-miskin dan melarat. Tiap-tiap pagi, wang yang dua
dinar itu akan saya letakkan di bawah bantalmu."
Rupanya tipu-daya iblis itu dapat
mempengaruhi Abid tersebut. Dikerumuninya niatnya yang tadinya ikhlas
untuk menebang pohon kayu itu. Di hadapan matanya sudah terbayang
dua dinar yang akan diterimanya tiap-tiap pagi. Dia beredar pulang
kembali ke tempatnya untuk menjalankan ibadat seperti biasa.
Pada hari yang pertama, di bawah
bantalnya ditemuinya dua dinar .Hari yang kedua demikian pula. la
sudah merasa lega sebab dapat memperoleh wang tanpa mengeluarkan
peluh.
Pada hari yang ketiga, diperiksanya
kembali di bawah bantalnya. Tapi, ia merasa kecewa, sebab wang yang
dua dinar itu tidak ditemuinya lagi, seperti yang sudah dijanjikan
oleh iblis.
Dengan perasaan jangkal dan marah,
Abid tersebut berangkat kembali dengan tujuan untuk menebang pohon
kayu yang sudah dipasangkan menjadi niat pertama kali. Dia marah
kepada iblis yang tidak memenuhi janjinya itu.
Di tengah jalan, ia bertemu kembali
dengan iblis, yang juga menjelma sebagai seorang laki-laki tua seperti
pada bentuk yang pertama kali. Terjadilah pertengkaran mulut antara
keduanya, yang diakhiri dengan perkeiahian yang serupa. Berbeza dengan perkelahian pada babak
pertama, dalam perkelahian ini Abid terpelanting dan mengalami kekalahan.
Kerana Abid tersebut sudah berada di pihak yang kalah,
akhimya iblis mengancam: "Kalau engkau akan meneruskan juga
niatmu , menebang pohon kayu itu, maka akan saya habisi jiwamu pada
saat ini juga. "
Dalam
pembicaraan-pembicaraan selanjutnya, timbullah dialog
antara keduanya. Abid bertanya.kepada iblis:
"Kenapakah
ketika terjadi perkelahian yang pertama , dan kedua
engkau dapat saya kalahkah; sedangkan pada perkelahian yang ketiga ini engkau
berada di pihak yang menang?"
Iblis menjawab: "Tidak hairan
apabila pada perkelahian kita yang pertama dan kedua itu, engkau
berada di pihak yang menang. Sebab waktu itu niatmu untuk menebang
pohon kayu itu didasarkan kepada keikhlasan, yaitu supaya orang
banyak jangan tersesat menyembah pohon.
Adapun dalam perkelahian yang ketiga
engkau kalah, niatmu untuk pergi menebang pohon itu kembali bukan
didasarkan kepada keikhlasan, tapi ialah kerana kepentingan hawa-nafsumu.
Sebab motifnya pada saat itu ialah kerana engkau tidak menemui wang
dua dinar setiap hari yang saya janjikan itu. Kerana niat yang tidak
suci itulah maka engkau tak dapat mengalahkan saya "
Sekali lagi, walaupun cerita di
atas ini tldak disebutkan sumber Hadisnya oleh Imam Ghazali, tapi
jalan ceritanya mengandungi pelajaran yang berkesan.
10. Kemenangan Dan Ikhlas
Tiap-tiap kemenangan, keuntungan,
kejayaan dan lain-lain dalam kehidupan di dunia dan untuk kehidupan
di akhirat, kecuali dicapai dengan amal, usaha dan perjuangan, pun
yang menentukan pada tingkat dan detik-detik yang terakhir ialah
pertolongan Tuhan.
"Sesungguhnya pertolongan
Tunan hanyalah diberikan kepada golongan umat yang lemah, yang (sentiasa)
berdoa, yang (berlaku) ikhlas dan yang (mengerjakan) sembahyang."
(Riwayat Nasai).
Dari Hadis tersebut dapat disimpulkan,
bahawa pertolongan Ilahi yang mendatangkan kemenangan dan kejayaan
itu, akan diberikan kepada empat golongan umat, yaitu:
(1) kaum yang lemah (dhu'afa', melarat)
(2) yang sentiasa berdoa kepada Tuhan;
(3) yang berlaku lkhlas dan
(4) yang mengerjakan sembahyang.
Tanamkanlah
pacakkanlah di dalam hati bahawa:
IKHLAS
JIWA KEMENANGAN
|